TINDAKAN kumpulan Datuk Bung Moktar Radin mengerakan Langkah Kinabalu bersama Datuk Seri Shafie Apdal, kerana sangat yakin, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor akan hilang sokongan majoriti seperti mana berlaku pada dua kerajaan negeri selepas PRU-14.
Malangnya sangkaan mereka itu tidak menjadi kerana majoriti berpendapat, mandat rakyat pada PRN-16 yang memberi peluang kepada Hajiji menjadi Ketua Menteri perlu dikekalkan sehingga tamat penggal.
Tindakan ADUN DAP, PKR dan UPKO mempertahankan mandat rakyat adalah satu penghormatan pada rakyat yang memilih kerajaan pada PRN-16. Demikian juga ADUN-ADUN Umno yang mempertahankan mandat rakyat atas alasan yang sama.
Pada PRN-16, dengan jelas majoriti rakyat Sabah menyokong Hajiji bersama parti-parti yang bersama beliau, dan menolak kepimpinan Shafie.
Satu pengkhiantan pada mandat rakyat menerusi Langkah Kinabalu, mengembalikan pemimpin yang ditolak rakyat menerajui kerajaan seperti mana kehendak Bung dan Shafie.
Apabila pada sidang khas DUN Sabah yang diadakan pada 10 Januari 2023, 44 ADUN termasuk Hajiji hadir, manakala ADUN-ADUN daripada Parti Warisan dan ADUN Umno kumpulan Bung menolak untuk hadir. Dalam sidang khas itu semua 43 ADUN sebulat suara menyokong ADUN Sulaman kekal sebagai Ketua Menteri dan meneruskan kerajaan sehingga tamat penggal.
Penggal ke-16 DUN Sabah akan tamat pada Oktober 2025, dan dalam tempoh 60 hari perlu diadakan PRN-17.
Berkaitan kenyataan Ketua Menteri pada Ahad lalu, bahawa hanya Umno kumpulan Bung yang menarik sokongan daripada kerajaan, memang berpandukan pada fakta, atas sebab Timbalan Pengerusi Umno Sabah kekal sebagai Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan naungan kerajaan negeri. Hanya mereka yang mengistiharkan menolak kerajaan dan kepimpinan negeri sahaja yang terkeluar atau digantikan/dilucutkan/dipecat termasuk Bung.
Di pihak Umno kumpulan Bung, mana-mana ADUN atau pemimpin parti itu yang kekal menyokong kerajaan negeri, tidak mewakili parti, seperti mana kenyataan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nassir pada Isnin. Makna pada kenyataan itu, parti-parti yang mendokong kerajaan Sabah hari ini, adalah musuh politik bagi Umno Sabah.
Apabila menjadi musuh politik, maka kerjasama pada PRN-17 tidak akan menjadi kenyataan selagi Bung kekal sebagai Ketua Umno Sabah.
Jika Bung kekal sehingga DUN dibubarkan, maka ADUN Umno yang menyokong kerajaan dalam keadaan tersepit, dan kemungkinan besar tidak dipilih mempertahankan kerusi-kerusi masing-masing. Mereka yang kekal bersama kerajaan negeri hanya sepenggal sebagai wakil rakyat, ertinya relatif baru, dan tidak wajar untuk tidak dikekalkan.
Di mata rakyat di kawasan yang diwakili para ADUN tersebut, wakil rakyat mereka telah menunjukan pencapaian baik dan memenuhi citarasa rakyat di kawasan masing-masing. Atas sebab itu, parti yang menunjangi kerajaan hari ini perlu mempertahankan mereka, jika parti mereka tidak mencalonkan, maka parti kerajaan perlu mencalonkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
Menidakan fakta apa yang berlaku dalam Umno Sabah tidak akan dapat mempengaruhi rakyat untuk mengembalikan Umno sebagai tunjang kerajaan.
Senario politik Sabah pada era ini, adalah era GRS-PH Plus, kerana rakyat telah mengecapi kejayaan demi kejayaan, terutama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pertumbuhan ekonomi, kutipan hasil negeri, juga penyelesaian isu-isu yang membelengu kedaifan kemudahan asas.
Tidak pernah dilaksanakan sebelum ini, di bawah kerajaan negeri akan terwujud rumah percuma untuk golongan miskin, bantuan pendidikan yang meliputi peringkat rendah, menengah dan tinggi. Selain itu pengwujudan kepimpinan belia “serupa” dengan wakil rakyat, selain latihan graduan menerusi FELO SMJ, seluruhnya adalah tekad untuk menjadikan rakyat Sabah makmur dan sejahtera. Kata bidalan, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
*Suara Rakyat (bukan nama sebenar) merupakan seorang penulis dan pemerhati politik tempatan. Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian beliau .
Add Comment