Home » Kisah Saudin Labutau beri inspirasi generasi muda
Berita Tempatan

Kisah Saudin Labutau beri inspirasi generasi muda

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) berbual dengan anak Saudin , James Julius Saudin (tengah) sebelum tayangan dokumentari ‘Saudin The Orangutan Whisperer’ dimulakan.

KOTA KINABALU: Kisah keberanian Saudin Labutau menjadi orang Murut pertama menjejakkan kaki di New York pada 1936 seharusnya menjadi inspirasi orang ramai khususnya generasi muda.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata kisah Saudin yang menempuh pelbagai cabaran untuk mengembara dari Borneo dan berjaya sampai ke New York kira-kira 86 tahun lalu sangat menarik.

Saudin yang berasal dari Kampung Ambual Keningau melakukan perjalanan terbabit semasa berumur 26 tahun selepas diupah pembuat filem hidupan liar pertama dunia, Martin dan Osa Johnson.

Beliau bekerja dengan pasangan itu untuk mengendalikan hidupan liar Borneo yang ditangkap dan mengiringi haiwan itu ke New York.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hadir di majlis pelancaran dokumentari “Saudin The Orangutan Whisperer” dan pameran “The Murut Journey to New York – 1936” di Galeri Azman Hashim dan Auditorium Sekafi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.

Hajiji berkata walaupun Saudin tidak mempunyai pendidikan asas, dia seorang yang tidak mudah gentar serta berani dan menghadapi cabaran.

“Walaupun tugasnya hanya sebagai penjaga haiwan termasuk orang utan dipanggil ‘Abai’ di New York, kita tidak dapat membayangkan semua halangan yang dilalui Saudin semasa berhijrah di dunia asing yang jauh dari keluarganya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran tayangan perdana dokumentari “Saudin The Orang Utan Whisperer” dan pameran ‘Kembara Orang Murut Pertama ke New York – 1936’ di Galeri Azman Hashim di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

Hajiji berkata beliau memberikan sokongan penuh selepas melihat dokumentari terbabit yang diterbitkan sendiri oleh waris Saudin bulan lalu.

Saudin meninggal dunia pada tahun 1986.

“Apa yang diusahakan ini adalah warisan Saudin, kisah ini bukan sahaja untuk waris serta anak-anaknya tetapi keberaniannya harus dicontohi oleh semua terutama generasi muda.  

“Sikap berani serta bersemangat waja ketika menghadapi cabaran dan tekad untuk tidak  berhenti belajar sesuatu yang baharu perlu diamalkan,” katanya.

Dalam pada itu Hajiji turut memuji Rye Production Sdn Bhd dan semua pihak yang terlibat dalam penghasilan dokumentari terbabit yang akan turut disiarkan di History Channel Asia.

“Dokumentari ini tidak ternilai berikutan memfokuskan kepada anak jati Sabah seterusnya menarik perhatian kepada imej unik Borneo yang menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

EDITOR

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment