Warkah ini saya ingin tujukan kepada Datuk Azis bin Haji Jamman, Ketua Penerangan Parti Warisan.
Semoga Datuk sentiasa mendapat limpah rahmat daripada Allah SWT dan dikurniakan kesihatan yang baik hendaknya.
Datuk,
Saya baru mendengar sebuah rakaman video TikTok suara Datuk yang memberikan komentar mengenai Parti Islam Se-Malaysia (PAS), antara lainnya menyatakan “suka atau tidak sudah terlakar dalam sejarah apabila PAS (parti Malaya) masuk dalam Dewan Undangan Negeri Sabah”.
Perkara seumpama ini sewajarnya tidak keluar dari mulut dan ucapan pemimpin yang matang dalam berpolitik. Sebagai mantan menteri, Datuk perlu menerima hakikat perubahan dalam arus siasah semasa sekali gus tidak sewenang-wenangnya memainkan naratif permusuhan.
Saya juga sarankan untuk Datuk ‘melihat cermin’ sebelum mengeluarkan kenyataan semberono dan celopar. Jika mahu dibangkitkan soal parti Malaya, terlakar juga dalam sejarah bahawa Datuk sebelum ‘menyertai’ Warisan juga dulunya dari UMNO (parti Malaya).
Hakikatnya, banyak parti yang memasuki medan politik demokrasi di Sabah juga asasnya adalah dari Semenanjung. Ironinya, parti Datuk sendiri telah menubuhkan kawasan dan cawangan di negeri-negeri di Malaya (Semenanjung).
Datuk,
Saya yakin rakyat Sabah bijak dan matang dalam menilai pemimpin. Bukan soal parti Malaya atau lokal yang menjadi isu. Kepimpinan politik yang bersih, amanah dan berintegriti yang perlu ditawarkan kepada rakyat.
Dalam al-Quran jelas menyebut antara ciri kepemimpinan ialah al-Qawiy al-Amin iaitu kuat (bekerja) dan amanah. Bukan soal ras, warna kulit, parti tempatan atau bukan.
PAS di Sabah sejak ditubuhkan menghampiri empat dasawarsa digerakkan oleh pemimpin dalam kalangan anak-anak Sabah mengikut acuan Sabahan.
Ini negeri kita. Kitalah sebagai rakyat yang mempunyai jati diri menjaga dan mempertahankan keamanan dan kestabilan yang sedia ada tanpa perlu mengapi-apikan sengketa dan permusuhan.
Saya memberi jaminan PAS Sabah akan terus berpolitik tanpa menghina, memperkecil atau memburukkan parti lain.
Marilah kita bawa politik kesatuan dan hindari politik perpecahan serta bertekad untuk terus berkhidmat demi negeri dan negara tercinta.
Akhir kata, semoga kita semua dapat hidup aman dan menyelesaikan segala pertelagahan dengan matang dan muafakat.
Sekian.
Yang Benar,
YB DATUK DR. ALIAKBAR GULASAN
Pesuruhjaya PAS Sabah
13 Oktober 2024
Add Comment