KOTA KINABALU: Sabah bersedia menjadi hab kemajuan teknologi dengan inovasi digalakkan dan dipupuk secara aktif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, integrasi teknologi dan inovasi amat penting dalam pembangunan ekonomi.
“Sabah komited untuk membangunkan ekonomi berorientasikan masa depan melalui inovasi dan dalam usaha untuk memacu negeri ini ke hadapan, kerajaan negeri merangka satu visi yang jelas untuk memastikan Sabah menjadi sebuah hab inovasi yang dinamik dan berdaya saing di rantau ini.
“Salah satu contoh usaha ini adalah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan; modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau”, katanya ketika merasmikan “SUPERCHARGER SABAH 2024” di Pusat Islam, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Selasa.
Beliau mengambil contoh dalam sektor pertanian, kerajaan Persekutuan menyalurkan lebih RM33 juta kepada Sabah Julai lalu dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan.
Dana itu penting untuk mengoptimalkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan.
“Inisiatif seperti siri Program Supercharger yang memberi fokus utama dalam keterjaminan makanan amat penting dalam usaha kita menghentikan kebergantungan import bekalan makanan.
“Seiring dengan Dasar Keterjaminan Makanan Nasional, Sabah berhasrat untuk meningkatkan tahap sara diri makanan dengan menggalakkan inovasi dalam pengeluaran tanaman, penternakan dan perikanan”, katanya.
Menurutnya, Sabah wajar perkasakan teknologi moden dalam sektor pertanian seperti penggunaan smart farming dan automasi atau mekanisasi untuk meningkatkan hasil dan kualiti produk, bukan sahaja untuk meningkatkan produktiviti, tetapi juga demi memastikan amalan pertanian yang mampan dan mesra alam.
Hajiji berkata, UMS menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu industri dan masyarakat di Sabah melalui pengkomersialan inovasi mereka dan pemindahan pengetahuan kepada masyarakat.
“Tidak ketinggalan penyelidikan terkemuka seperti ‘hybrid grouper’, ‘monkey malaria’ dan banyak lagi, pemilihan Institut Penyelidikan Marin Borneo (BMRI) UMS sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah kebanggaan rakyat Sabah dan bukti penyelidikan dan inovasi yang cemerlang oleh UMS”, katanya.
Katanya, UMS juga mewujudkan ekosistem yang komprehensif untuk memperkukuh penyelidikan dan inovasi melalui penubuhan empat kluster penyelidikan iaitu Kejuruteraan dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, Alam Sekitar dan Sains Gunaan serta Seni, Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Menurutnya, penubuhan Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (ICMC) pada 2021 menjadi pemangkin dalam memudahkan pensyarah UMS mengkomersialkan inovasi mereka.
“Supercharger Series 2024 adalah inisiatif strategik yang dirangka khusus untuk memacu kerjasama, penglibatan dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan, dan Inovasi (R&D&C&I).
“Program ini juga membolehkan syarikat terbitan atau spin-off universiti, penyelidik, entiti sektor swasta dan agensi dapat bekerjasama, belajar serta menangani cabaran bersama-sama.
“Dengan adanya program Supercharger yang dilaksanakan di negeri ini, rakyat Sabah berpeluang bersama-sama membina sebuah ekosistem inovasi yang dinamik dan berdaya saing, sekali gus meletakkan negeri ini di persada dunia sebagai hab inovasi yang unggul,” katanya.
— TAMAT
Add Comment