KOTA KINABALU:Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu menjadi lebih progresif dan mempunyai gerak kerja yang padu dan luar biasa kata Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun.
Beliau yang juga Ketua Wanita GRS berkata Wanita GRS mesti bersiap sedia dan cekap membaca sikap pengundi. Kita tidak boleh berfikir sikap pengundi masih sama seperti PRN lalu.
“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada persepsi dan andaian semberono. Kita memerlukan satu gerak kerja yang lebih mendalam bagi mendapatkan fakta lebih tepat terhadap sokongan yang diterima parti,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Siri Jelajah Wanita GRS Dun Bandau di Marudu Inn Kota Marudu baru-baru lalu.
Turut hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk redonah Bahanda, Naib Presiden PBS , Datuk Arthur Sen, Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Maijol Mahap serta wakil-wakil dari parti komponen GRS.
Azizah menambah pengundi anak muda menjadi elemen penting dalam setiap pilihan raya selepas undang-undang meletakkan seawal usia 18 tahun sudah diiktiraf sebagai pengundi.
Jelasnya, mereka (pengundi muda) diberikan hak dan ruang untuk memilih kerajaan. Kekuatan undi mereka sangat penting. Sikap mereka mudah berubah. Mereka mudah terdedah dan terpengaruh dengan persekitaran, pengaruh rakan-rakan, ahli keluarga dan juga dakyah di media sosial.
“Golongan ini mudah bertukar corak pengundian. Meskipun apa yang dijanjikan tidak praktikal dan sukar dilaksanakan. Di sinilah pentingnya, gerak kerja kempen untuk meneutralkan semula dakyah yang wujud.
“Di sinilah peranan Wanita. Sebagai ibu kita dekati mereka, kita fahami kemahuan mereka, kita selami jiwa mereka dan kita bimbing mereka parti apakah yang terbaik untuk mereka membuat pilih,”ujar Azizah.
Tegas beliau gerak kerja Wanita GRS yang efisien dan berdaya saing, memerlukan penggerak yang mempunyai jati diri yang kuat, bijaksana dalam melaksanakan agenda wanita.
Katanya, Wanita GRS mesti turun ke akar umbi, mengatur program-program yang lebih berdaya dan lebih berstrategik. Media sosial menjadi medium yang sangat penting dan besar dalam kehidupan seharian kita semestinya perlu memanfaatkan setiap platform yang ada.
Wanita GRS harus gandakan usaha sebagai agen penyebaran maklumat. Kita lawan dakyah dan fitnah pihak lawan. Rakyat harus diberikan maklumat yang tepat. Jangan biarkan mereka menipu dan menyeleweng fikiran rakyat katanya.
“Gerakan Wanita GRS perlu melengkapkan diri dengan persediaan serapi mungkin. Kita tidak ada lagi masa untuk bersenang-lenang. Persediaan itu biarlah seumpama kita mahu berjuang ke medan perang,”ujarnya.
— TAMAT
Add Comment