KOTA KINABALU: Bidang bahasa dan sastera di negeri ini sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri kerana ia elemen yang mampu membentuk peribadi dan ketamadunan bangsa.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, bidang berkenaan juga mampu melahirkan bangsa yang bercitra dan beracuan sendiri.
Katanya, dalam usaha menguasai seberapa banyak bahasa, namun pemartabatan bahasa kebangsaan tidak harus diketepikan atau diperlekeh.
“Saya berharap rakyat akan terus mengutamakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk paparan di tempat awam, komunikasi dan dokumentasi di institusi kewangan, perbankan, iklan, pasar raya, projek-projek pembangunan, projek komersial, taman perumahan, institusi pendidikan dan sektor kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 pada Khamis. Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd Arif.
Hajiji berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah melalui Projek Kosa Kata Bahasa Sukuan berjaya mengetengahkan beberapa kosa kata sukuan negeri ini dan dirakamkan sebagai salah satu entri di dalam Kamus Dewan.
Menurutnya, antaranya kata ‘kerop’ dari bahasa Kadazan yang membawa maksud bulu mata palsu dan ‘meridap’ daripada bahasa Bajau untuk maksud tidur atau lelap sekejap.
“Kita berasa bangga kerana turut sama menyumbang ke arah memperkasa kosa kata bahasa kebangsaan.
“Masih banyak kosa kata etnik yang boleh diketengahkan lagi memandangkan Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik yang berkomunikasi dalam lebih daripada 50 bahasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk mengetengahkan kosa kata sukuan daripada etnik lain di negeri ini untuk dimasukkan sebagai salah satu entri dalam Kamus Dewan.
Menurutnya, Bulan Bahasa Kebangsaan adalah usaha kerajaan untuk menyemarakkan rasa cinta masyarakat terhadap bahasa kebangsaan melalui pelbagai program yang dirancangkan.
Katanya, memperkasakan bahasa kebangsaan juga bermakna mendukung Perlembagaan Negara yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Hajiji berkata, program itu juga platform untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa agar dapat dihayati seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan.
Menurutnya, sejak sekian lama bahasa kebangsaan berperanan penting sebagai bahasa ilmu, bahasa pengantar pendidikan, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan bangsa serta tonggak pembinaan negara bangsa.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment