Rihanna sudah enam tahun tidak membikin sebarang karya, dengan kali terakhir pada 2016 iaitu Anti. – Gambar fail
UCAPKAN terima kasih kepada sekuel Black Panther, kerana membawa Rihanna kembali dengan karya terbaharunya.
Rihanna sudah enam tahun tidak membikin sebarang karya, dengan kali terakhir pada 2016 iaitu Anti.
Namun demi Black Panther: Wakanda Forever penyanyi ini menyumbangkan sebuah lagu sebagai tribute kepada aktor Chadwick Boseman yang merupakan pembawa karakter Black Panther sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2020 lalu.
Lagu yang menjadi soundtrack dalam filem ini diberi judul Lift Me Up, dengan Rihanna menulisnya bersama rakan artis Tems, pemenang Oscar, Ludwig Göransson dan Pengarah Black Panther, Ryan Coogler.
“Selepas berbicara dengan Coogler dan memahami hala tuju lagu dan filem ini, saya mahu menulis sesuatu yang melambangkan ‘kekuatan’ sekali gus meraikan semua individu saya pernah hilang sebelum ini.
“Saya berimaginasi sedang menyanyikan lagu ini kepada mereka semua dan menyatakan perasaan rindu yang mendalam,” ujar Tems dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, lapor CNN.
Dia juga mengatakan: “Rihanna menjadi inspirasi untuk saya dan beliau telah menyampaikan lagu ini dengan sangat baik. Ia sebuah penghormatan buat kami.”
Lift Me Up yang dirakamkan di lima negara akan dirilis pada hari ini (Jumaat).
*Artikel asal disiarkan di Gempak.com
— AWANI
Add Comment