TAWAU: Pemimpin di peringkat kampung perlu sentiasa aktif menganjurkan program-program yang boleh memberi nilai tambah dan kebaikan kepada seluruh penduduk di kampung mereka.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penduduk kampung terutamanya di kawasan luar bandar perlu diberikan bimbingan kemahiran termasuklah yang boleh dijadikan sumber pendapatan mereka.
Katanya, banyak agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan kursus-kursus secara percuma khususnya golongan wanita serta suri rumah.
“Kemahiran seperti jahitan, kraftangan, masakan dan banyak lagi boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan yang boleh membantu menambah pendapatan keluarga.
“Justeru, saya mahukan pemimpin di peringkat kampung perlu berkolaboratif dengan mana-mana agensi yang memberikan latihan kemahiran atau program jangka masa pendek,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Program Sukaneka Kampung dan Bengkel Jahitan di Kampung Kinabutan Bukit, di sini hari ini.
Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh Ketua Kampung Kinabutan Bukit ini perlu dijadikan contoh kepada kampung-kampung lain di daerah ini.
Katanya, program yang dilaksanakan ini dilihat dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung dan peserta untuk menambah kemahiran mereka.
“Kita mahukan program seperti ini perlu dilaksanakan lebih kerap lagi sebagai aktiviti bulanan atau tahunan di peringkat kampung.
“Justeru, sebagai wakil rakyat di sini sangat menyambut baik usaha yang dilaksanakan ini dan akan menyokong setiap program untuk kebaikan semua rakyat,” katanya.
Nizam berharap, semua peserta yang terlibat dapat memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari dan sentiasa meningkatkan kemahiran dari semasa ke semasa.
“Saya mahu dengan kemahiran yang diperolehi ini dapat digunakan dengan sebaiknya dan berharap ketua kampung terus menganjurkan program sebegini pada masa akan datang,” katanya.
— Hamzah Sanudin
Add Comment