Home » Kerajaan rancang tubuh MPLTV: Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kerajaan rancang tubuh MPLTV: Hajiji

CEMERLANG: Hajiji menyampaikan Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri kepada Mohamad Shawal dari Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (MPLTV) untuk memperkasakan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, MPLTV akan ditubuhkan selewat-lewatnya awal tahun hadapan, dengan kerajaan negeri memberikan sokongan yang signifikan terhadap program TVET melalui pelbagai inisiatif dan peruntukan.

Katanya, dalam usaha memperkukuhkan modal insan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM33 juta untuk pelaksanaan kursus dan latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi pada tahun ini.

“Namun, kita masih berdepan dengan beberapa cabaran dalam usaha memperkasakan TVET di negeri ini, termasuklah berkaitan infrastruktur dan kelengkapan latihan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pelajar TVET kita mendapat latihan berkualiti dengan kemudahan terkini.

“Kita juga memerlukan lebih ramai tenaga pengajar berkemahiran yang dapat menyampaikan ilmu dan latihan berkualiti kepada para pelajar,” katanya pada Majlis Anugerah Tangan Emas Ketua Menteri dan Perasmian Penutupan Pertandingan WorldSkills Malaysia Sabah 2024 di Dewan Seri Kinabalu, Institut Kemahiran Mara (IKM) pada Sabtu.

Beliau percaya dengan kerjasama semua pihak dalam industri berkaitan dapat menangani cabaran itu dan mahu kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi seperti Politeknik dan Kolej Komuniti dengan pihak industri berterusan dalam usaha membantu memperkasakan bidang TVET di Sabah.

Hajiji berharap kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak dalam bidang kemahiran dan industri dapat diteruskan dan dipertingkatkan bagi menyokong agenda memperkasakan TVET di negeri ini.

Katanya, TVET mampu membantu melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perladangan, pelancongan, dan perindustrian, membantu memenuhi permintaan industri tempatan, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Menurutnya, TVET turut memainkan peranan dalam menyediakan pekerja dengan kemahiran teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), robotik, dan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang menjadi asas dalam era Revolusi Industri 4.0, selain bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Saya yakin dengan melahirkan tenaga kerja yang cekap, produktif, dan berkemahiran tinggi, TVET menjadikan Sabah lebih menarik kepada pelabur asing yang memerlukan tenaga kerja berkualiti. Daya saing ini penting untuk menarik pelaburan asing dalam sektor berteknologi tinggi, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan,” tegasnya.

Hajiji optimis, Pertandingan WorldSkills Malaysia Sabah 2024 dapat melahirkan lebih ramai belia berkemahiran dan berdaya saing dan dengan penglibatan pihak industri, secara langsung akan meningkatkan lagi kualiti latihan dan keyakinan peserta kerana mereka mendapat pendedahan secara terus teknologi semasa dan suasana kerja sebenar di industri.

Beliau berharap pertandingan kemahiran seperti ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang di negeri ini.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan TVET sebagai landasan utama untuk melahirkan lebih ramai anak Sabah yang mempunyai kemahiran khusus dan bersedia menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara,” katanya.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment