KOTA KINABALU: Para graduan diminta memanfaatkan ilmu pengetahuan yang ada untuk menyumbang bakti semula bagi memajukan masyarakat ke arah masa depan yang lebih baik.
Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, mereka juga tidak seharusnya berpuas hati dengan ilmu yang dipelajari sebaliknya terus berusaha menambah kemahiran yang ada.
“Kepada para graduan, ingatlah bahawa pendidikan adalah perjalanan seumur hidup. Ilmu yang telah anda peroleh di sini akan menjadi asas anda, tetapi adalah tanggungjawab anda untuk terus membinanya.
“Saya berharap setiap anda akan membawa nilai dan kemahiran yang telah dipelajari dan menggunakannya untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Kongsikan ilmu anda, jadilah inspirasi kepada orang lain, dan tunjukkan contoh yang baik.
“Dengan berbuat demikian, anda akan membantu membentuk masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya semasa berucap pada Majlis Konvokesyen ke-10 Kolej SIDMA di sini hari ini.
Ellron yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sook berkata, hari graduasi adalah merupakan permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih mencabar dan seharusnya mereka sentiasa bersiap sedia menghadapi arus perubahan yang berlaku.
“Hari ini adalah satu acara untuk meraikan pencapaian anda, tetapi ia juga merupakan permulaan bab baru dalam hidup anda. Semasa anda memulakan perjalanan yang menarik ini, semoga anda menghadapi setiap peluang dan cabaran dengan keberanian dan ketekunan. Saat kejayaan ini hanyalah permulaan kepada jalan yang dipenuhi dengan potensi dan kemungkinan,” ujar beliau.
Beliau turut merakam tahniah di atas kejayaan Kolej SIDMA yang kini muncul sebagai salah satu institusi terkemuka di Sabah dalam pendidikan tinggi, terutamanya dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Katanya, usaha Kolej SIDMA dalam mengutamakan kepentingan pendidikan awal, dari penjagaan kanak-kanak hingga ke tadika, telah membuka jalan bagi pendidikan berkualiti di Sabah, dan menjadi contoh yang terpuji bagi institusi lain untuk diteladani.
“Saya berharap pada masa hadapan, program-program lain yang dikendalikan oleh Kolej SIDMA seperti bidang pengurusan dan bidang pengurusan sukan akan terus berkembang dan berjaya di masa hadapan.
“Kepada graduan pula, anda kini dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk memberi impak yang bermakna dalam bidang pilihan yang anda telah pilih, dan konvokesyen ini adalah pengiktirafan terhadap pencapaian anda serta panggilan untuk terus berkembang dan belajar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kolej SIDMA, Prof Dr Morni Kambrie memberitahu Kolej SIDMA buat pertama kali akan menawarkan biasiswa kepada dua (2) pelajar yang ingin mengambil Diploma Pengurusan Sukan di kolej tersebut pada tahun ini.
Dalam majlis itu, seramai 107 graduan Kolej Sidma dalam pelbagai bidang telah menerima diploma mereka. Daripada jumlah tersebut seramai 83 graduan menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, manakala 8 graduan pula menerima Diploma Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan.
Sebanyak 10 graduan lagi menerima Diploma Pengurusan dan 6 graduan menerima Diploma Pengurusan Sukan.
Pada konvokesyen kali ini, Abigail Joan Frederick telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2024 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, manakala Anugerah Pelajar Terbaik bagi program Diploma Pengurusan, Darren Paulson Linggi.
— TAMAT
Add Comment