Home » Bidang pendidikan dan modal insan keutamaan kerajaan
Berita Tempatan Politik

Bidang pendidikan dan modal insan keutamaan kerajaan

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pelajar Asnaf pada majlis itu.

TUARAN: Kerajaan negeri sentiasa memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan dan pembangunan modal insan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, antara fokus utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ialah aspek pendidikan dan modal insan yang berkualiti.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri telah menambah berlipat kali ganda peruntukan untuk pendidikan, termasuklah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun hadapan berjumlah RM127 juta.

Beliau berkata, penambahan ini berupaya membantu lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakan, tetapi memerlukan bantuan dari segi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi pengajian tinggi.

“Selain itu bantuan lain yang turut diberikan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) ‘one off’, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU),” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rugading, Tuaran pada Sabtu.

Hajiji berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan generasi muda memiliki asas pendidikan yang kukuh, lengkap dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan agar mereka dapat menghadapi masa depan dengan penuh keyakinan.

Katanya, kerajaan negeri akan menimbang untuk memberikan bantuan kepada pelajar Tingkatan 6 negeri ini.

Hajiji juga menyokong cadangan agar sebuah sekolah baharu dapat dibina di kawasan Rugading bagi menampung jumlah murid yang terus meningkat setiap tahun.

Menyentuh bangunan baharu SK Rugading, beliau berkata, suasana  pembelajaran yang kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan terkini dapat mendorong pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan dan memudahkan mereka mencapai potensi diri yang sebenar.

“Saya yakin, dengan adanya kemudahan ini, SK Rugading akan terus mencipta sejarah dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja di peringkat akademik, tetapi juga dalam kehidupan secara keseluruhan.

“Semoga bangunan baharu SK Rugading ini dapat memberi manfaat kepada rakyat terutama anak-anak di daerah Tuaran dan sekitarnya.

“Saya yakin pelajar sekolah akan dapat menimba ilmu pengetahuan dengan lebih berkesan dalam suasana yang lebih selesa berbanding dengan bangunan sebelum ini,” katanya.

— TAMAT