Home » Penambahbaikan Jejantas Petagas bakal tingkat keselamatan penduduk
Berita Tempatan Politik

Penambahbaikan Jejantas Petagas bakal tingkat keselamatan penduduk

PRIHATIN: Shahelmey semasa menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan keretapi di Kampung Muhibbah, Putatan.

PUTATAN: Pembinaan dan penambahbaikan jejantas pejalan kaki di Petagas bakal memberi impak terhadap peningkatan keselamatan kepada masyarakat setempat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, perancangan berkaitan pembinaan jejantas itu sudah dimulakan tahun lalu dan rancangan itu kini diberi keutamaan berikutan ia adalah penambahan struktur sedia ada.

“Perancangan untuk membina jejantas di kawasan ini sudah diluluskan dalam Belanjawan Sabah 2025 yang dibentangkan baru-baru ini.

“Saya minta keutamaan diberikan kepada pembinaan jejantas ini dalam waktu yang terdekat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi ahli keluarga mangsa kemalangan keretapi di Kampung Muhibbah, Putatan, pada Jumaat.

Sementara itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, lawatan ini adalah sebagai tanda prihatin beliau selepas kejadian kemalangan di landasan kereta api 19 November lalu.

“Ziarah ini adalah untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa serta melihat dan mendengar keadaan salah satu mangsa,” katanya.

Selain Shahelmey, turut hadir memberi sumbangan semasa ziarah ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia Datuk Che Murad Sayang, Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah Mohd Safri Abdul Habi, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Jais Asri dan wakil daripada Jabatan Penerangan Sabah.

Untuk rekod, kejadian kemalangan membabitkan keretapi dari arah Beaufort ke Kota Kinabalu menyebabkan seorang wanita berusia 41 tahun maut, manakala anak lelakinya yang parah masih menerima rawatan di hospital.

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment