TONGOD: Tiada balak dalam kawasan bukit batu kapor yang dicadangkan untuk kilang klinker dan simen di Kampung Kayawoi di sini.
Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS) Datuk Masiung Banah berkata, walaupun pada awalnya terdapat sisa kayu balak di kawasan rendah tetapi aktiviti pembalakan telahpun berlaku sejak beberapa tahun lalu sebelum kilang berkenaan dicadangkan.
“Dakwaan kononya syarikat itu turut melakukan pembalakan semasa menjalankan kerja-kerja pembinaan laluan ke tapak kuari kilang itu adalah tidak benar, ” katanya ketika melakukan tinjauan kerja-kerja fasa pertama di salah satu lokasi tapak kuari BCS di Kg. Susui di sini, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu menjelaskan hampir keseluruhan jajaran bukit batu kapor di kawasan itu yang dilesenkan oleh Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing (EIA) kurang ditumbuhi kayu kayan.
Masiung berkata, kerja-kerja fasa pertama yang kini telah dilesenkan oleh EIA ialah pembinaan tapak kuari, kerja meratakan tanah dan membina jalan ke lokasi yang padat dengan lapisan batu kapor.
“Kami tidak akan melanggar tata kelola yang disyaratkan oleh EIA. Lagipun setiap inci kerja kami dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Alam Sekitar, ” katanya.
Cadangan pembinaan kilang itu menalan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion adalah hasil usahasama kerajaan negeri dan Sri Alam Setia Sdn Bhd yang menubuhkan BCS serta Sinoma Industry Bhd iaitu syarikat pengeluar simen terbesar China.
Seluas 500 ekar kawasan klinker diwartakan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) untuk projek itu dan 200 ekar lagi diberikan kepada BCS untuk tapak kuari, kilang pejabat dan kuarter pekerja.
Turut hadir pada lawatan itu, Pengarah Urusan BCS, Micheal Kinsuan, Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Yusof dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hasim Omar.
— Yap Siong Han
Add Comment