Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri GRS-PH akan terus menyokong badan agama bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan, dan sekolah swasta, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Sekolah Cina juga tidak terkecuali kerana Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan serius dalam membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira kaum dan agama.
“Sebab itulah sejak menjadi Ketua Menteri lebih empat tahun lalu, saya bukan sahaja konsisten tetapi juga meningkatkan peruntukan kepada badan agama bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan, dan sekolah swasta.
“Tahun ini, sebanyak RM56.75 juta diperuntukkan untuk tujuan itu. Selain peruntukan ini, saya juga tidak keberatan menggunakan sebahagian daripada peruntukan saya untuk membantu sekolah-sekolah ini,” katanya semasa menerima kunjungan hormat Persatuan Hokkien Kota Kinabalu (KKHA).
Hajiji diberi taklimat oleh Pengerusi KKHA Datuk Clement Yeh, mengenai acara kutipan dana untuk Sekolah Menengah Kian Kok pada 8 Disember di Dewan Hakka, yang dijangka dihadiri lebih 1,000 orang. Hajiji dijangka merasmikan acara terbabit dan turut menyerahkan sumbangan peribadi kepada Sekolah Kian Kok melalui Clement.
Clement, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kian Kok, mengucapkan terima kasih kepada Hajiji atas keprihatinannya, dengan menyatakan bahawa Hajiji sentiasa menunjukkan minat mendalam terhadap pembangunan pendidikan Cina di Sabah.
“Sejak memegang jawatan sebagai Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah meningkatkan dana tahunan untuk sekolah Cina, termasuk peruntukan untuk penyelenggaraan Sekolah Cina Bebas,” katanya.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Tan Sri Paul Lim, Pengerusi Kehormat Sepanjang Hayat Persatuan Hokkien Kota Kinabalu; Edwin Koh (Ketua Pendidikan KKHA); Albert Ting (Ketua Pemuda merangkap Pengerusi Penganjur); Jimmy Goh (Penasihat Pemuda KKHA merangkap Ketua Pegawai Perancangan); dan peguam Natasha Goh (Setiausaha Pemuda KKHA merangkap Setiausaha Jawatankuasa Persiapan & Promosi).
Sementara itu, Paul Lim berkata beliau kagum dengan usaha Hajiji dalam bidang pendidikan.
“Ketua Menteri bukan sahaja membantu sekolah-sekolah tetapi juga pelajar dengan memberikan biasiswa serta subsidi tiket penerbangan secara ‘one-off’ kepada mereka yang belajar di dalam dan luar negeri.
“Tekad Hajiji untuk memastikan tiada pelajar ketinggalan dalam pendidikan mereka akibat kemiskinan atau ketidakmampuan keluarga menanggung kos persekolahan adalah sesuatu yang wajar dipuji dan disokong oleh semua pihak,” katanya.
Acara terbabit akan menyaksikan bakat nyanyian terbaik dari Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura, dan Semenanjung bersaing untuk merebut Piala Tan Sri Paul Lim dalam pertandingan akhir.
— Alex Ong
Add Comment