Home » 150 warga Sugut dapat lesen motosikal B2 percuma
Berita Tempatan Politik

150 warga Sugut dapat lesen motosikal B2 percuma

TERIMA KASIH:Wakil rakyat Sugut, Datuk James Ratib menerima cendera kenangan daripada pihak penganjur.

PAITAN: Seramai 150 individu dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Sugut, akan mendapat lesen motosikal B2 secara percuma.

Berita gembira itu diumumkan wakil rakyat Sugut, Datuk James Ratib, ketika melancarkan Kelas Memandu Daerah Paitan, di sini pada Jumaat.

Katanya, mereka yang mendaftar awal dan berkelayakan akan dibiayai sepenuhnya membabitkan kos pendaftaran, latihan, ujian dan amali.

“Program ini akan dilaksanakan seawal tahun hadapan (2025) dengan kerjasama Akademi Memandu Ramah Sdn Bhd.

“Pihak akademi juga bersetuju menyediakan kemudahan litar sementara motosikal di daerah Paitan bagi menjayakan program ini.

“Ini memudahkan mereka yang terpilih menjalani latihan di litar tanpa perlu ke Sandakan, selain menjimatkan kos perjalanan jauh untuk menghadiri sesi latihan,” katanya.

James yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah mencadangkan supaya ujian amali JPJ dijalankan di litar di litar sementara itu.

Bagi tujuan itu, katanya, perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diadakan kemudian.Dalam pada itu, program itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan lesen memandu yang sah.

Selain itu, ia juga untuk meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pemilikan lesen dan melahirkan penunggang motosikal yang cekap dan mematuhi undang-undang.

Program ini katanya, dapat mendidik masyarakat tentang kepentingan memiliki lesen memandu bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

— Clarence Dol

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment