Home » KPKM suntik RM3.37 juta rancakkan industri kopi pedalaman Sabah
Berita Tempatan

KPKM suntik RM3.37 juta rancakkan industri kopi pedalaman Sabah

ALBUM: Arthur merakamkan gambar kenangan bersama sebahagaian penerima bantuan semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di Nabawan.

NABAWAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.37 juta bagi membantu pengusaha kopi di pedalaman Sabah khususnya di Nabawan dan Sook.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2.24 juta diperuntukan bagi membina Coffee House dan Café Coffeelive di Stesen Pertanian Sepulut dan RM1.13 juta lagi untuk menaik taraf pusat pengumpulan hasil kopi di Daerah Nabawan.

“Projek yang dibawa melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dengan kerjasama Kerajaan Negeri merupakan inisiatif ‘quick-win’ KPKM dan dijangka akan dapat disiapkan menjelang Februari 2025, ” katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Pertanian Sabah komited untuk membantu para pengusaha kopi di pedalaman Sabah dalam usaha merancakkan lagi industri kopi Sabah dan juga Malaysia.

“KPKM melalui Jabatan Pertanian Malaysia bermula Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan diteruskan dalam RMKe-12 melalui Projek Pembangunan Industri Kopi dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta serta sasaran keluasan 300 hektar.

“Berdasarkan data perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Sabah, setakat tahun 2022, pengeluaran kopi masih rendah dengan tahap kecukupan hanya 35 peratus.

“Data ini berdasarkan keluasan bertanam iaitu 1,434.2 hektar, luas berhasil 936.1 hektar dan pengeluaran 936.1 tan.

“Bagi pengeluaran kopi di daerah Nabawan dan Sook, keluasan bertanam setakat ini adalah 341.6 hektar dengan pengeluaran sebanyak 248 tan setahun mewakili 26.5 peratus pengeluaran kopi negeri Sabah.

SIMBOLIK: Arthur memotong riben sebagai gimik penyempurnaan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di Nabawan.

“Ini secara tidak langsung mencerminkan industri kopi mempunyai potensi yang masih luas dan terbuka untuk diterokai, ” katanya semasa berucap menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Coffee House dan Cafe Coffeelive di daerah Nabawan.

Dalam perkembangan sama, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata peningkatan pengeluaran kopi perlu disokong dengan aktiviti pemprosesan hiliran.

“Produk hiliran berasaskan Kopi akan dapat menambah nilai hasil Kopi untuk pasaran tempatan dan juga eksport seterusnya meningkatkan pendapatan pengusaha kopi, ” katanya.

Sehubungan itu, Arthur menyeru supaya para pengusaha tanaman kopi di daerah Nabawan dan Sook menggunakan kemudahan itu sepenuhnya nanti tanpa perlu pergi jauh ke Tenom.

Beliau turut menegaskan agar aspek pengurusan dan pengendalian Coffee House dan Café Coffeelive perlu dilaksanakan dengan teratur dan memberi penekanan dari segi kebersihan dan amalan mesra alam.

“Saya percaya projek ini akan memberi impak dalam membantu pengusaha tanaman kopi meningkatkan  pendapatan untuk memperbaiki taraf sosio ekonomi, memberi peluang pekerjaan terutamanya kepada belia dan menghasilkan produk hiliran kopi yang berkualiti dan selamat di makan, memenuhi standard pensijilan yang ditetapkan untuk pasaran dalam dan luar negeri, ” katanya.

UB

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment