Home » Simposium sumber manusia bincang masalah industri sawit di Sabah
Berita Tempatan

Simposium sumber manusia bincang masalah industri sawit di Sabah

PENGHARGAAN: Abdul Karim (tengah) menerima cendera kenangan daripada Ambran.

TAWAU: Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB) mengambil inisiatif mengadakan Simposium Sumber Manusia bagi membincangkan beberapa masalah berkaitan dengan industri kelapa sawit di Sabah.

Pengerusi Lembaga Pengarah BWSB, Datuk Abdul Karim Abdul Wahid berkata simposium kali ini melibatkan beberapa syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan syarikat perladangan di daerah Tawau.

Katanya, program ini adalah khusus untuk membincangkan masalah yang wujud terutamanya dari segi sumber manusia dan strategi bagi memantapkan industri perladangan kelapa sawit di Sabah.

“Sebenarnya masalah sumber manusia di syarikat perladangan kelapa sawit perlu dibincangkan bersama oleh GLC dengan syarikat swasta mengikut kepakaran dan pengalaman masing-masing.

“Saya percaya dengan adanya perbincangan bersama melalui penganjuran simposium ini, sudah pasti masalah-masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam program SImposium Sumber Manusia 2024, di sini semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif BWSB, Ambran Peang.

Menurutnya, peranan sumber manusia sangat penting dalam syarikat dan ia perlu dimantapkan seiring dengan perkembangan dunia hari ini.

“Sumber manusia juga aset yang paling penting dan perlu diberi perhatian kerana ia boleh menentukan peningkatan prestasi syarikat.

“Kita dapati masalah syarikat perladangan terutamanya dalam industri kelapa sawit adalah kekurangan tenaga pekerja yang turut menjadi kebimbangan semua pemain industri,” katanya.

Abdul Karim berharap semua masalah yang dibincangkan dalam simposium ini dapat dileraikan sekali gus industri kelapa sawit di Sabah bertambah maju.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan strategik dan syarikat-syarikat swasta yang terlibat dalam simposium ini,” katanya.

UB

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment