SAMAN: Denda dikenakan kepada salah seorang pengguna yang tidak celik penggunaan telefon pintar dan tidak sedar mengenai dasar yang diperkenalkan.
KOTA KINABALU: Pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dimohon memberikan kelonggaran dalam sistem parkir di sini dengan mengekalkan kupon fizikal sebagai pilihan khususnya kepada warga emas.
Ketua Pemuda MCA Sabah, Roger Yapp berkata, tindakan mendadak menggantikan sistem kupon fizikal dengan sistem pembayaran dalam talian perlu mengambil kira keperluan rakyat secara menyeluruh.
“Berikutan keputusan itu, warga emas, penduduk luar bandar, serta mereka yang kurang arif dengan teknologi terjejas.
“Ramai warga emas tidak mahir menggunakan peranti pintar atau menjalankan transaksi dalam talian. Dengan pemansuhan sistem kupon fizikal, mereka kehilangan akses kepada perkhidmatan yang biasa mereka gunakan, sekali gus meningkatkan jurang digital antara generasi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, penyebaran maklumat terhadap perkara ini perlu meluas di setiap daerah khususnya yang berdekatan dengan bandaraya ini kerana mungkin terdapat dalam kalangan mereka tidak sedar akan perubahan polisi ini.
Katanya, pelaksanaan mendadak tanpa tempoh peralihan atau sokongan seperti latihan atau bantuan kepada pengguna menyebabkan ramai tidak bersedia dengan perubahan ini.
ROGER
“Walaupun pembayaran dalam talian adalah lebih moden, DBKK harus mengekalkan sistem kupon fizikal bagi memastikan semua lapisan masyarakat mempunyai pilihan yang sesuai dengan kemampuan mereka.
“DBKK perlu memastikan maklumat tentang perubahan polisi disampaikan dengan jelas dan meluas melalui media tempatan, media sosial, serta program komuniti agar semua penduduk termasuk dari kawasan berhampiran mengetahui perubahan ini lebih awal,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan rakyat dapat menyesuaikan diri dengan sistem baru, DBKK perlu menyediakan tempoh peralihan serta mengadakan kelas latihan, talian bantuan, atau kaunter sokongan bagi membantu warga emas dan mereka yang kurang mahir menggunakan sistem dalam talian.
Roger berkata, pihaknya mahu DBKK mempertimbangkan semula dasar itu dengan melaksanakan pendekatan yang lebih mesra rakyat.
“Transformasi digital sememangnya penting, tetapi pelaksanaannya perlu mengambil kira keperluan dan kemampuan semua golongan masyarakat secara inklusif,” katanya.
— UB
Add Comment