YANG berkhidmat adalah wakil rakyat, bukannya parti, lagipun tidak semestinya parti sahaja yang boleh menubuhkan kerajaan.
Telah terbukti di negara kita, dua Perdana Menteri dengan kerajaan masing-masing yang ditubuhkan bukan kerana parti akan tetapi oleh sekumpulan wakil-wakil rakyat.
Dengan adanya duluan ini, maka membuka peluang kepada rakyat untuk memilih calon yang mereka anggap bukan sahaja boleh mewakili mereka, juga membela mereka.
Di negara ini, bukan perkara baharu, wakil rakyat yang dipilih kerana rakyat memilihnya berasaskan parti, boleh ghaib dalam tempoh yang lama, dan muncul semula, pada masa pilihan raya.
Bukan itu sahaja ada wakil rakyat menjadi arrogant, sombong, mengabaikan rakyat yang memilihnya, kerana bersandar pada kekuatan parti.
Jika calon yang memang sudah merakyat, apabila menjadi wakil rakyat, maka bertambah-tambah lagi iltizam merakyat, kesannya, rakyat yang diwakili bukan sahaja terbela, akan tetapi lebih maju ke hadapan kerana dipandu dengan hala tuju yang tepat, yang disesuaikan dengan hala tuju kerajaan atau hala tuju negara.
Kita biasa dengan wakil rakyat yang terpilih kerana bersandarkan parti, termasuk calon-calon payung terjun. Kesannya, kategori wakil rakyat sedemikian kurang prihatin pada rakyat yang memberi sokongan, sebaliknya mendabik dada, atas kebolehan sendiri, sehinggakan boleh mendakawa parti menjadikannya sebagai ayam tambatan, untuk parti menang kerusi.
Sempena PRU kali ini, khususnya Parti GRS dan BN Sabah, perlu memilih calon yang tepat, calon yang disukai, selain diterima, juga calon yang mempunyai rekod merakyat.
Jangan terperangkap dengan calon yang hebat bercakap, hebat berhujah, hebat menyusun berbagai harapan yang berbentuk bulan dan bintang, sedangkan semuanya auta, kerana sukar dilaksanakan.
PRU kali ini, diakui faktor kebarangkalian tinggi untuk menang bersandar pada kombinasi antara calon dan parti, tetapi jangan ambil mudah faktor kecenderungan pengundi berasaskan calon bukannya parti.
Add Comment