Home » 55 kes seludup dadah guna dron tahun ini – Saifuddin
Berita Am Berita Dalam Negara Jenayah Uncategorized

55 kes seludup dadah guna dron tahun ini – Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail – Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Sejumlah 55 kes penyeludupan dadah menggunakan dron dikesan sepanjang tahun ini melibatkan Penjara Tapah dan Penjara Alor Setar.

Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Bagi mengatasinya, peralatan antidron digunakan.

“Dia jatuhkan dadah pakai dron, jadi kita kena ada antidron. Kita ada pasukan penembak untuk musnahkan dron. Apabila dia jatuhkan dan kita dapat kesan. Mereka berinovasi juga apabila kita mengetatkan pemeriksaan.

“Namun buat masa ini semuanya kita dapat kesan, tiada yang bolos,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan dalam menghapuskan dadah yang dirampas daripada operasi dan serbuan.

Kamal turut bertanyakan langkah yang diambil bagi menangani kes penyeludupan dadah di dalam pusat-pusat tahanan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, terdapat tiga pelaku terbabit dalam kes penyeludupan dadah ke pusat tahanan antaranya petugas, ahli keluarga dan tahanan.

Justeru, katanya, kementerian memperketat prosedur di pusat tahanan dengan melakukan pemeriksaan ketika orang tahanan dibawa masuk pada hari pertama.

“Pemeriksaan dibuat semasa lawatan ahli keluarga, kita periksa dengan teliti dan di sel atau bilik tahanan, tiada hari tanpa pemeriksaan rapi,” katanya

Menjawab mengenai SOP menghapuskan dadah dirampas daripada operasi dan serbuan, Saifuddin berkata pelupusan mesti mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara, khususnya Bahagian D207.

“Namun, sebelum dihapus, ada beberapa syarat. Yang pertama, dadah itu mestilah barang kes yang sudah selesai siasatan dan perbicaraan. Sejurus selesai, mahkamah atau timbalan pendakwa raya kena keluarkan arahan supaya barang kes tersebut dilupuskan,” katanya.

WO