Home » Tinju antara sukan jadi fokus Kerajaan Negeri
Berita Tempatan Sukan

Tinju antara sukan jadi fokus Kerajaan Negeri

FAIRUZ (kiri) menerima baju rasmi sebagai cenderahati daripada Iruan (kanan) dengan Orlando di pusat itu.

Kota Kinabalu: Sukan tinju merupakan salah satu sukan yang diberi fokus oleh Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sabah sebagai kuasa besar dalam arena sukan negara.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyatakan perkara ini dalam ucapannya yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Datuk Fairuz Renddan semasa pembukaan Kejohanan Tinju Kebangsaan di Dewan Maksak Likas pada Isnin.

“Sebanyak RM101.49 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk pengurusan serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan belia termasuk sukan di Sabah pada tahun hadapan.

“Daripada jumlah itu, RM27.21 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan dan kemajuan sukan di Negeri ini.

“Semua usaha ini adalah untuk memastikan program pembangunan sukan berprestasi tinggi dan Paralimpik terus berkembang maju.

“Ini bertujuan menjadikan Sabah sebagai ‘kuasa besar’ dalam beberapa sukan seperti tinju, sepak takraw, wushu, pencak silat, muay thai, karate, boling padang, petanque dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha Persatuan Tinju Negeri Sabah untuk membangunkan sukan tinju sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya dimaklumkan bahawa negara kita hari ini sangat memerlukan peninju yang mampu mengharumkan nama negara ke peringkat lebih tinggi.

“Oleh itu, saya berharap Persatuan Tinju Negeri Sabah terus giat melahirkan bakat baharu dan membangunkan mereka sehingga mencapai tahap antarabangsa.

“Saya juga berharap sukan tinju akan menjadi salah satu sukan yang popular di negara ini, terutamanya di Sabah, dan ini tidak mustahil jika persatuan dan kelab tinju Negeri bekerjasama dengan Persekutuan Tinju Malaysia (PTM) untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan di Negeri atau peringkat kebangsaan.

“Langkah ini akan memberikan kesan menyeluruh terhadap pembangunan sukan ini di Negeri dan melalui usaha ini, kita dapat melahirkan ramai bakat tinju dari Sabah,” tambahya.

Sementara itu, lebih 200 peninju dari seluruh negara menyertai pertandingan enam hari yang diadakan di sini buat kali pertama.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Presiden Persekutuan Tinju Malaysia Datuk Iruan Zulkefli, Presiden Persatuan Tinju Sabah Datuk Orlando Harumal, serta pegawai-pegawai tertinggi lain.

— GL Oh

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment