Home » Demam denggi di Sabah : 5 daerah catat kes tertinggi, 5 kematian
Berita Tempatan

Demam denggi di Sabah : 5 daerah catat kes tertinggi, 5 kematian

KOTA KINABALU: Lima daerah mencatatkan kes demam denggi tertinggi di Sabah setakat 22 Oktober.

Daerah-daerah tersebut ialah Sandakan yang mencatatkan 1,394 kes, Kota Kinabalu (1,155 kes), Tawau (387 kes), Lahad Datu (349 kes) dan Putatan (344 kes).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Negeri Sabah telah bermesyuarat pada 27 Oktober bagi membincangkan situasi kes demam denggi di Sabah yang menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan.

Bagi lokaliti wabak aktif, katanya, sejumlah 74 lokaliti wabak aktif (11 wabak hotspot, 11 wabak tidak terkawal dan 52 wabak terkawal) di seluruh Sabah yang melibatkan tujuh daerah iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kudat, Penampang dan Pitas.

“Kerajaan Negeri menyarankan individu yang mengalami gejala penyakit demam denggi agar mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital terdekat bagi mengurangkan risiko komplikasi demam denggi berdarah terutama bagi golongan kanak-kanak serta golongan yang mempunyai penyakit komorbid,” katanya.

Sehingga Minggu Ke-42, Sabah telah mencatatkan sejumlah 4,812 kes demam denggi berbanding 1,336 kes dicatatkan pada tempoh masa yang sama pada tahun 2021. 

Sebanyak lima kes kematian direkodkan melibatkan demam denggi iaitu tiga di daerah Sandakan dan masing-masing satu di daerah Papar dan Tawau.

“Kerajaan Negeri ingin menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengambil tindakan kawalan pencegahan demam denggi dengan membersihkan kawasan luar dan dalam rumah, menyembur aerosol, kerap menggunakan repellant (bahan yang mencegah gigitan nyamuk) sekiranya keluar rumah pada waktu nyamuk aktif dan menyental bekas tadahan / simpanan air seminggu sekali.

“Kerajaan Negeri sentiasa memantau isu-isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi terlibat bagi memastikan risiko wabak demam denggi dapat ditangani,” katanya.

wartaoriental