Home » PRU15: Siapapun calon daripada GRS kita sokong – Hajiji
Berita Tempatan

PRU15: Siapapun calon daripada GRS kita sokong – Hajiji

Hajiji turut menegaskan hanya kestabilan politik sahaja dapat memberi kemajuan kepada Negeri Sabah.

TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru kepada seluruh masyarakat di daerah ini supaya mengundi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihraya Umum Ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November depan.

“Siapapun calon GRS di Tuaran ini kita kena sokong, ini adalah untuk memastikan kemenangan calon GRS dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 di Negeri Sabah kerana musuh politik kita adalah parti Warisan, PKR, UPKO, DAP dan parti lain.

“Saya mahu rakyat bijak berfikir dalam menentukan kestabilan politik di Sabah ini,” katanya semasa berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan-Peralatan Nelayan Daerah Tuaran Dewan Terbuka Masjid Haji Noor Kampung Serusup di sini tadi.

Beliau turut menegaskan hanya kestabilan politik sahaja dapat memberi kemajuan kepada Negeri Sabah.

“Kalau kita mahu satu kestabilan politik, kemajuan seperti yang saya rancangkan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya kita kena bersatu, maka dalam pilihan raya ini perpaduan dan sokongan adalah penting untuk menentukan kemenangan kepada calon GRS-BN yang kita pilih seterusnya dapat meneruskan pembangunan yang dirancang untuk rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji juga turut memaklumkan senarai calon bagi GRS akan diumumkan beberapa hari lagi sebelum hari penamaan calon.

NORMIMIE DIUN 

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment