Home » Ahmad Idham, Eizlan sah bertanding PRU15
Berita Dalam Negara Hiburan Politik

Ahmad Idham, Eizlan sah bertanding PRU15

Ahmad Idham (kiri) dan Eizlan (kanan)

BANGI – Pengarah dan pelakon, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sah bertanding atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA) di kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Dalam masa sama, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof pula atau nama sebenar beliau Datuk Seri Idris Md. Yusof turut bertanding atas tiket GTA di kerusi Parlimen Sabak Bernam.

Nama kedua-dua calon tersebut antara diumumkan pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA – Parti Pejuang Tanah Air di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Idham berkata, pencalonannya pada PRU15 kali ini disifatkan sebagai amanah berat yang perlu dipikul.

“Hari ini bukti kerja saya mula berkesan. Saya aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi produk pendidikan khas, malah saya juga ada sekolah pendidikan khas.

“Justeru, saya sifatkan ini amanah berat kepada saya (sebagai calon di Port Dickson),” katanya ketika ditemui di sini.

Ujarnya lagi, pada mulanya beliau dipelawa oleh Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail untuk bekerjasama menjalankan aktiviti kepada anak-anak istimewa di negeri tersebut.

“Kita tidak bercerita mengenai pilihan raya dan beliau bawa saya di dua tempat iaitu Rembau dan Port Dickson. Di Port Dickson sendiri ada tujuh Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) untuk anak-anak istimewa.

“Saya bergerak menyantuni rumah-rumah penduduk dan dari situ, kita memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya kepada anak-anak istimewa,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, Pengasas Ikatan Silaturahim Bro­therhood (Brotherhood), Azlan Sani Za­­wawi atau lebih dikenali sebagai Lando turut bertanding pada PRU15 di Tanjong Karang mewakili parti GTA.

-– KOSMO! ONLINE