Home » Saya masuk kempen dengan gear lima
Berita Dalam Negara Politik

Saya masuk kempen dengan gear lima

Radzi yang mewakili Perikatan Nasional (PN), berdepan dengan penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 45 dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Rosli Ramli, 64, calon PEJUANG serta dua calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee dalam pertarungan enam penjuru.

PUTRAJAYA – Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengakui memasuki persaingan di Parlimen Putrajaya dengan gear lima.

Beliau yang sudah menetap di situ sejak 2018, mahu membawa pendekatan dan strategi baharu kepada penduduk di Putrajaya dan memacunya menjadi bandar pentadbiran lebih hebat.

Katanya, sebagai antara penduduk di Putrajaya, beliau dapat menyelami dan memahami isi hati serta keluh kesah penduduk.

Radzi berkata, banyak perkara dibangkitkan warga Putrajaya termasuk isu penyelenggaraan kuarters dan pengangkutan awam selain rungutan peniaga mengenai sewa premis yang terlalu mahal.

“Perkara lain berkaitan pembangunan rohani dan sahsiah…bukan mengenai infrastruktur sahaja.

“Kita perlu menjadikan masyarakat di Putrajaya sebagai masyarakat contoh melalui pembangunan holistik yang boleh dijadikan model pembangunan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Taekwondo Milo Putrajaya ke-12, di sini, tadi.

Berikutan itu, Radzi yang memegang jawatan Menteri Kanan Pendidikan, meminta diberikan peluang oleh pengundi Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

“Selepas diwakili oleh ahli parlimen yang sama untuk tempoh empat penggal, saya menawarkan diri kepada warga Putrajaya,” katanya.

Radzi berkata, beliau mula melihat momentum sokongan terhadapnya semakin hari semakin meningkat.

Justeru, beliau yakin ia akan diterjemahkan melalui kertas undi pada 19 November ini nanti.

Radzi yang mewakili Perikatan Nasional (PN), berdepan dengan penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN); Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 45 dari Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Rosli Ramli, 64, calon PEJUANG serta dua calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee dalam pertarungan enam penjuru.

Seramai 42,881 pengundi di Parlimen P125 bakal menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 November ini.

Berita Bersatu

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment