Home » Hamzah kecewa pengundi berdepan banjir pada musim PRU
Berita Dalam Negara Politik

Hamzah kecewa pengundi berdepan banjir pada musim PRU

Mengulas lanjut, Hamzah berkata beliau akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkempen memandangkan beberapa kawasan kini dilanda banjir.

LARUT – Calon PN bagi Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau kecewa kerana pengundi terpaksa berdepan musibah banjir ketika musim pilihan raya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, walaupun negara mempunyai 120,000 anggota polis namun kira-kira 80,000 terbabit dalam PRU.

“Saya sedih kerana kita hanya ada 120,000 anggota polis. Nak guna untuk PRU saja hampir 80,000 jadi hanya tinggal 40,000 untuk jaga keselamatan seluruh negara.

“Kalau banjir mungkin 20,000 untuk kita turunkan bantu rakyat di bawah sana jadi inilah sebabnya saya minta jangan kita lakukan PRU pada musim tengkujuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan itu tidak diendahkan oleh parti lain yang bersama membentuk kerajaan persekutuan, malah dakwanya menteri daripada BN yang menyokong agar PRU tidak diadakan tahun ini turut tidak dicalonkan semula.

“Kawan-kawan saya yang berada dalam Kabinet yang datangnya daripada BN ramai digugurkan kerana semata-mata bercakap benar bercakap demi kepentingan rakyat.

“Hanya mereka yang berjuang demi kepentingan presiden mereka saja dikekalkan,” dakwanya.

Antara yang digugurkan daripada senarai calon BN adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa; Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim dan Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan koperasi.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata beliau akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkempen memandangkan beberapa kawasan kini dilanda banjir.

“Kita hendak berkempen dibenarkan untuk satu-satu masa saja tapi kalau ianya berlaku begini mungkin susah kerana 2,3 pagi pun kita perlu turun bantu mangsa banjir dan ini akan kita bincang bersama SPR, perkara yang tak terfikir atau terpandang dengan lebih awal,” katanya.

Seramai 274 mangsa banjir di sembilan kampung sekitar Taiping dan Batu Kurau terpaksa dipindahkan susulan banjir kilat sejak malam Jumaat.

Kesemua mereka ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Surau Kampung Tengaj, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdullah, Masjid Changkat Ibol, Masjid Batu 8 Bendang Siam dan Surau Kampung Perak.

Berita Bersatu