Home » Jangan terus selesa dengan sokongan sedia ada, terus kerja keras pesan Bung Moktar
Berita Tempatan Politik

Jangan terus selesa dengan sokongan sedia ada, terus kerja keras pesan Bung Moktar

Bung bersama Calon GRS Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah

SINDUMIN: Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak berasa selesa dengan sokongan sedia ada walaupun mempunyai keyakinan untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.


Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, sekiranya berkeyakinan mampu menang dalam PRU15, itu adalah petanda yang menunjukkan kemungkinan parti menghampiri kekalahan.


“Jangan kita rasa kita sudah menang sebab kalau kita rasa kita menang, kita akan menghampiri kekalahan. Namun lebih baik fokus terhadap gerak kerja temui seramai mungkin pengundi-pengundi, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pemimpin dan calon Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) di tapak tamu Pekan Sindumin, hari ini.


Dalam pada itu, Bung Moktar turut menggesa kepada seluruh jentera supaya tidak berhimpun di pusat-pusat daerah mengundi (PDM) sepanjang kempen ini kerana ia bukan platform untuk mendekati pengundi.


Sebaliknya kata Bung Moktar, mereka (jentera) di PDM sebaiknya melaksanakan pendekatan yang lebih mesra dengan menemui setiap pengundi tanpa mengira apapun latar belakangnya kerana setiap undi pasti dapat membantu memenangkan calon GRS-BN.


Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar turut mengingatkan pengundi supaya tidak keliru dengan situasi PRU15 kerana sekiranya pengundi memilih calon GRS, itu menunjukkan bahawa undian itu menyumbang kepada kemenangan BN, dan begitu juga sebaliknya.


Justeru katanya, tidak timbul sebarang persoalan kerana calon-calon GRS-BN yang bertanding dalam PRU15 ini merupakan satu persefahaman yang telah dibincangkan bersama dalam gabungan itu.


“Undilah calon GRS-BN dan bagi kerusi Parlimen Sipitang calon daripada kerajaan GRS-BN adalah Datuk Matbali Musah. Insyaallah beliau akan berjuang untuk rakyat Sindumin dan Sipitang, ” katanya.

Kenneddy Corlleus