Home » GRS fokus jaga Sabah, saya fokus jaga Batu Sapi: Khairul Firdaus
Berita Tempatan Politik

GRS fokus jaga Sabah, saya fokus jaga Batu Sapi: Khairul Firdaus

MENDEKATI: Sebahagian komuniti Cina di Mawar yang hadir semasa majlis ramah mesra bersama calon Parlimen Batu Sapi

SANDAKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata fokus utama beliau jika diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat Parlimen itu adalah untuk membantu memulihkan semua permasalahan di Batu Sapi.


“GRS parti tempatan Sabah, kita bergabung kita bekerja bersama untuk bawa perubahan baru kepada Sabah, rakyat dan kita tidak mahu fikir soal lain selain Sabah dan rakyat.
“Saya mahu fokus jaga Batu Sapi, jaga rakyat tidak kira apa bangsa apa agama, sebab saya orang Batu Sapi, mama saya berbangsa Cina dan saya dekat dengan komuniti Cina di sini.


“Saya mahu politik kita jernih, tidak mahu ada gaduh-gaduh sesama kita kerana perbezaan ideologi atau sudut pandang sebab berbeza kaum.


“Saya mahu semua satu hati, sama-sama hidup harmoni di Batu Sapi kerana kita semua adalah keluarga yang besar dan saling sayang serta saling jaga,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama Komuniti Cina di Mawar pada malam Khamis.

Menurut Khairul Firdaus, Batu Sapi mempunyai banyak masalah dan semuanya perlu diselesaikan untuk kepentingan penduduk.


“Kita di sini ada masalah, macam-macam, di kawasan kampung masalah seperti orang susah, sampah, elektrik, kampung tidak digazet.

ALBUM: Khairul Firdaus (tiga dari kiri) bersama ibunya (dua dari kiri) semasa bertemu dengan komuniti Cina di Mawar.


“Di pekan pula, masalah kesesakan, peluang kerja dan macam-macam yang saya sudah dengar dan saya kaji sendiri bila saya turun padang memberi khidmat sejak hampir 18 tahun, walaupun saya belum lagi menjadi YB di Batu Sapi.


“Saya sayang Batu Sapi dan kerana itulah saya mesti diberi peluang untuk bawa suara dan hasrat orang Batu Sapi, orang di kampung dan di pekan, semua sekali saya mahu pastikan terima pembangunan serta masalah dapat diselesaikan,” katanya.


Tambah Khairul Firdaus lagi, Kerajaan Negeri GRS sudah membantu komuniti Cina seluruh negeri dalam perkara berkaitan pendidikan di sekolah Cina dan persatuan.


“GRS sudah bantu komuniti Cina dengan peruntukan lebih 50 hingga 100 juta.


“Untuk persatuan, untuk sekolah dan komuniti sebab kerajaan GRS bukan kerajaan yang pilih bulu, tengok bangsa dan kita dibawah GRS, kita kerjasama semua kaum, kita tidak mahu jahat sama orang itu, orang ini.


“Kita beri semua sama rata, tidak mahu pilih, kerana rakyat Sabah ada hak semua sama rata, tidak boleh cakap ini kaum dapat banyak, itu kaum dapat sikit, tidak boleh begitu, itu pemimpin yang tidak bagus jika pilih bulu,” tegasnya lagi.

Kenneddy Corlleus