Home » Pemuda PBS bidas kenyataan calon PH KK
Berita Tempatan Politik

Pemuda PBS bidas kenyataan calon PH KK

Naib Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS) Shahrun Nidzam Sharoom.

KOTA KINABALU: Kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin melalui satu wawancara yang disiarkan di Facebook pada Isnin lepas, jelas menunjukkan pendiriannya yang tidak mementingkan kepentingan rakyat Sabah.


Naib Ketua Pemuda Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS) Shahrun Nidzam Sharoom berkata, wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu hanya tunduk dengan alasan Semenanjung dan juga ‘Boss’ parti itu sendiri.


Katanya, tindakan Chan yang meminta rakyat Sabah agar mempertimbangkan perasaan negeri-negeri di Semenanjung adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh rakyat Sabah.


“Sebagai wakil rakyat, beliau sepatutnya memelihara dan memperjuangkan hak-hak negeri dan rakyat di Sabah.


“Namun, beliau langsung tidak memikirkan perasaan rakyat Sabah yang sudah lama dahagakan pembangunan dan kesaksamaan ekonomi.


“Mentaliti sebegini juga menunjukkan beliau tidak patut lagi mewakili rakyat di sini kerana tidak memberikan kepentingan kepada rakyat mahupun negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 


Menurutnya, Chan mahu rakyat Sabah memikirkan perasaan orang Selangor dan Pulau Pinang yang akan tersinggung apabila Sabah meminta 40 peratus hak minyak.


Namun jelasnya, kedua-dua negeri berkenaan jauh lebih membangun berbanding negeri Sabah dan perkara itu dilupakan oleh Chan. 


“Purata pendapatan isi rumah di Selangor dan Pulau Pinang adalah RM8,210 dan RM6,169 manakala Sabah hanya RM4,235. 


“Dengan jurang sebesar ini, Chan lebih mementingkan perasaan mereka dari rakyat yang diwakilinya? Chan harus ingat bahawa perkara yang dituntut ini adalah sebahagian dari perjanjian asal pembentukan Malaysia pada 1963. 


“Jika ia tidak dituntut, di mana kesaksamaan yang dijanjikan kepada Sabah? Sampai bila pemimpin Sabah seperti Chan tidak mahu memperjuangkan hak yang selama ini dinafikan hampir 60 tahun,” katanya.


Beliau turut menyifatkan Chan sebagai pemimpin yang tidak mempunyai pemikiran untuk mengutamakan Sabah dan tidak menyayangi negeri ini.
“Dulu janji nak pulangkan 20 peratus hak minyak dan 50 peratus cukai yang dikutip.

Tetapi, selama 22 bulan PH menjadi kerajaan, pelbagai alasan diberikan untuk tidak melunaskan janji berkenaan.


“Chan seharusnya berasa malu dengan kegagalan mereka dan ia amatlah memalukan dan mendukacitakan apabila seorang pemimpin Sabah sendiri menidakkan perjuangan hak-hak dan kepentingan rakyat Sabah,” jelasnya.


Justeru, pihaknya menyeru agar rakyat Sabah memilih dengan akal fikiran yang matang dan melihat hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah terus diperjuangkan dan dimartabatkan seperti yang sepatutnya.

Siti Aisyah Narudin