Home » Tindakan akan diambil sekiranya Rubin langgar perjanjian GRS-BN
Berita Tempatan Politik

Tindakan akan diambil sekiranya Rubin langgar perjanjian GRS-BN

Hajiji berkata tindakan tatatertib perlu diambil terhadap pemimpin yang melanggar perjanjian termasuk menamatkan pelantikan sebagai pengerusi atau mana-mana jawatan dalam mana-mana agensi atau perbadanan berkaitan kerajaan (GLC).

PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan terhadap Ketua Bersatu Tenom Datuk Rubin Balang sekiranya terbukti beliau berkempen untuk calon Bebas Riduan Rubin.

Riduan yang juga anaknya bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Tenom pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pihaknya sedang menunggu laporan berhubung perkara itu dan sekiranya Rubin terlibat secara langsung, tindakan selanjutnya akan diambil.

“Kita perlu menunggu laporan lanjut berkenaan perkara ini kerana apa yang saya lihat adalah gambar Rubin dan anaknya dan bukan gambar berkempen.

“Kita perlu berlaku adil kepada semua, tetapi sekiranya Rubin didapati menyokong Riduan secara terbuka kita akan ambil tindakan,” katanya.

Katanya semasa diminta mengulas gesaan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin agar tindakan tatatertib perlu diambil terhadap ADUN Kemabong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph Papar, hari ini. 

Sebelum ini, Bung Moktar menggesa tindakan tatatertib perlu dikenakan kerana tindakan Rubin bertentangan dengan perjanjian GRS-BN dan tidak mencerminkan semangat persahabatan antara kedua-dua gabungan itu.

Katanya, tindakan tatatertib perlu diambil terhadap pemimpin yang melanggar perjanjian termasuk menamatkan pelantikan sebagai pengerusi atau mana-mana jawatan dalam mana-mana agensi atau perbadanan berkaitan kerajaan (GLC).

“Tindakan yang melanggar perjanjian ini memberi tanggapan negatif terhadap kerjasama GRS-BN dan akan merosakkan sokongan kepada calon BN, Jamawi Jaafar di kerusi Parlimen Tenom,” katanya.

Tambahnya, tindakan tatatertib perlu diambil segera sebagai peringatan kepada semua ahli dan pemimpin GRS-BN agar tidak mengambil mudah kerjasama yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Kemasukan Riduan ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dipercayai cubaan untuk mendapatkan sokongan parti pimpinan ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony selepas pencalonan di kerusi Parlimen Tenom ditolak pada hari penamaan calon lalu.

Sementara itu, ketika Hajiji ditanya mengenai kedudukan Riduan dalam Bersatu Tenom berkata, Riduan sudah meletak jawatan sebagai Ketua Armada sebelum hari penamaan calon pada 5 November lalu.

Vivi Olviana Najurus