Home » PAS Sabah minta rakyat tolak calon PH
Berita Tempatan Politik

PAS Sabah minta rakyat tolak calon PH

Aliakbar ketika memberikan ucapan dalam program tersebut. Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; calon GRS Parlimen Tawau, Lo Su Fui

TAWAU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah meminta supaya rakyat di negeri ini menolak calon daripada Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan berkata, selama tempoh 22 bulan PH memegang tampuk pemerintahan banyak perkara yang bertentangan dengan budaya dan agama berlaku di negara ini.

Katanya, PH cuba membawa ideologi yang tidak sesuai dengan nilai budaya masyarakat Malaysia.

“Justeru, PAS Sabah mengharapkan pengundi di negeri ini terutamanya anak muda supaya jangan sesekali beri PH ruang dan peluang mentadbir negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata demikian ketika ditemui dalam program santai bersama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tawau, di sini pada hari jumaat baru-baru ini.

Menurunya, PAS Sabah sudah mengeluarkan arahan untuk membantu calon-calon GRS-Barisan Nasional (BN) disemua kawasan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

“Pemimpin PAS Sabah juga sudah mengagihkan peranan dan tugas untuk turun ke lapangan membantu calon GRS-BN.

“Kira-kira 20,000 orang jentera PAS di seluruh Sabah sudah turun berkempen bersama-sama bagi memastikan calon GRS-BN menang pada PRU15,” katanya.

Aliakbar berkata, bagi Parlimen Tawau pula hampir 2,000 ahli PAS akan menyokong calon GRS pada PRU ini.

“PAS berjaya memperoleh lebih 2,500 undi pada PRU14 di Parlimen Tawau dan kita berharap undi tersebut dapat diberikan kepada calon GRS kali ini,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; ADUN Balung, Datuk Hamild Awang; calon GRS Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husain.

– – Hamzah Sanudin