Home » Nilai sumbangan calon, bukan serang secara peribadi
Berita Tempatan Politik

Nilai sumbangan calon, bukan serang secara peribadi

Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) ,Jafery Jomin.

PENAMPANG: Rakyat seharusnya melihat sumbangan yang diberikan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum menilai kelemahan setiap calon.

Pengarah Operasi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Pusat Kepayan Jafery Jomin berkata, tindakan pihak lawan menggunakan serangan secara peribadi untuk memburukkan calon tidak sepatutnya berlaku dalam kempen PRU15.

Beliau berkata demikian bagi mempertahankan calon GRS kerusi Parlimen Penampang Kenny Chua Teck Ho yang menerima serangan secara peribadi daripada pihak lawan dengan menularkan gambar dan video di media sosial beberapa hari lalu.

Jafery yang juga Ketua Bahagian Kapayan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, tindakan sedemikian menunjukkan pihak lawan ketandusan idea dan bahan untuk berkempen.

Katanya, pihak terbabit hanya tahu menilai kelemahan pihak lawan dan bukan membezakan diri mereka dengan sumbangan yang diberikan kepada warga Penampang.

Calon GRS kerusi Parlimen Penampang Kenny Chua Teck Ho

“Sebelum ini, rakyat tahu dan sedar bahawa Kenny Chua adalah manusia biasa seperti kita semua, yang ada ‘kain kotor di rumah’ (kelemahan peribadi).

“Tetapi rekod beliau banyak membantu di kawasan Inanam semasa menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam dan selepas menjadi penyelaras Parlimen Penampang.

“Beliau juga tidak pernah berhenti memberi bantuan untuk Parlimen Penampang berbanding pihak lawan Pakatan Harapan (PH) yang hanya datang memberi janji serta harapan kepada warga Penampang seminggu sebelum penamaan calon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, prestasi kerja Kenny Chua lebih baik berbanding calon PH Datuk Ewon Benedick yang tidak banyak membantu warga Penampang.

“Selama ini, kenapa calon PH tidak pernah bersuara secara lantang mengenai masalah dan isu di Penampang dan kenapa baru sekarang mahu menjadi ‘malaikat dan hero’ untuk rakyat Penampang,” katanya.

Sehubungan itu, Jafery meminta supaya pengundi di Penampang tidak mudah tertipu dengan calon lawan dan terus menyokong calon GRS untuk meraih kemenangan dalam PRU15.

Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment