Home » Suruhanjaya Tenaga Sabah ditubuh April tahun depan
Berita Tempatan

Suruhanjaya Tenaga Sabah ditubuh April tahun depan

Hajiji bersama Lo dan Andi Muhammad serta pemimpin GRS-BN pada majlis makan malam itu.

TAWAU: Rang Undang-undang yang memberi laluan kepada pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April tahun depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Dengan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah, katanya, negeri ini akan mempunyai kawalan penuh terhadap pengurusan sumber tenaganya, khususnya tenaga elektrik.

“Ini adalah sebahagian daripada tuntutan Kerajaan Negeri GRS-BN berhubung hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya pada majlis bertemu rakyat dan makan malam di Dewan Kung Ming SJK (C), di sini, malam tadi.

Bersama beliau ialah calon GRS-BN bagi Tawau, Lo Su Fui dan Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu menyeru pengundi Tawau supaya berhati-hati membuang undi dan memilih wakil rakyat yang mementingkan kebajikan mereka.

Katanya, calon GRS-BN bagi Tawau, Lo Su Fui dilahirkan dan dibesarkan di Tawau, jadi beliau amat memahami keperluan penduduk di sini.

Beliau berkata, kerjasama antara GRS dan Barisan Nasional terjalin sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 dan merupakan cara terbaik untuk Sabah bergerak ke hadapan.

“Ini satu-satunya cara untuk kita membangunkan Sabah dan kerjasama ini mesti diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti,” katanya.

Hajiji berkata, Parti WARISAN cemburu dengan Kerajaan Negeri GRS-BN yang membangunkan Sabah menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Mereka (WARISAN) tidak ada pelan sebegitu (semasa berada dalam kerajaan), mereka tidak mempunyai program atau platform yang jelas. Tetapi bagi Kerajaan Negeri GRS-BN, kita ada SMJ, iaitu cogan kata pada Jata Sabah, yang digubal dengan mengambil kira manifesto yang kita tawarkan kepada rakyat,” katanya.

Berdasarkan pemerhatiannya, Ketua Menteri yakin dengan peluang Lo dan Andi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, pada pilihan raya 19 November ini.

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis makan malam itu termasuk Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, ADUN Balung, Datuk Hamil Awang, ADUN Kukusan, Rina Jainal, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Syed Abas Syed Ali, serta para pemimpin parti komponen GRS dan BN yang lain.

wartaoriental