Home » Ucapan saya di Johor disunting, diambil dari luar konteks sebenar
Berita Dalam Negara Politik

Ucapan saya di Johor disunting, diambil dari luar konteks sebenar

Muhyiddin menegaskan, beliau sentiasa bercakap mengenai keperluan kepada kestabilan politik dan mengelakkan rasuah, selain keperluan untuk DAP menghormati hak semua kaum di Malaysia termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

KUALA LUMPUR– Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kenyataannya dalam sebuah ceramah di Johor beberapa hari lalu yang tular di media sosial, sengaja disunting dan diambil di luar konteks sebenar.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, video berdurasi satu minit 35 saat yang disebarkan melalui TikTok itu sengaja diedarkan pihak lawan untuk mencemarkan imej beliau, selain bertujuan mewujudkan naratif palsu.

“Klip video yang beredar di TikTok menyunting ucapan saya di Johor beberapa hari lalu secara terpilih dan telah dikeluarkan sepenuhnya di luar konteks sebenar.

“Keseluruhan ucapan saya adalah lebih kurang 55 minit. Klip ini yang sedang beredar di TikTok dan media sosial adalah terhad satu minit dan 35 saat daripada keseluruhan ucapan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam rakaman sebuah ceramah di Johor pada Jumaat lalu, Muhyiddin dikatakan mendakwa kumpulan Yahudi mahukan Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU15, selain mengatakan PH bekerjasama dengan Yahudi serta orang Kristian untuk ‘menjajah’ negara.

Muhyiddin dalam pada itu menegaskan, beliau sentiasa bercakap mengenai keperluan kepada kestabilan politik dan mengelakkan rasuah, selain keperluan untuk DAP menghormati hak semua kaum di Malaysia termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Malah, katanya dalam ucapan itu beliau secara khusus menekankan hasrat PN untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama supaya tiada kaum yang ketinggalan.

“Saya kata, semua orang mesti makmur. Melayu, Cina, India mesti berkongsi bersama supaya kemakmuran negara boleh dikongsi oleh semua kaum.”

“Saya juga mengulangi komitmen PN mengenai keadilan dan kesaksamaan yang mana keseluruhan ucapan menggalakkan kestabilan, kedaulatan undang-undang, keadilan kepada semua kaum dan agama serta menegakkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Berita Bersatu