Home » PN menang besar di Pahang, BN tersasar
Berita Dalam Negara Politik

PN menang besar di Pahang, BN tersasar

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Krau sejak empat penggal lalu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri tewas mengejut kepada calon PN, Kamal Ashaari dengan majoriti 1,024 undi.

KUANTAN,– Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) kali ini bukan saja menyaksikan kerajaan negeri Pahang tidak dapat dibentuk susulan keputusan menunjukkan tidak ada mana-mana parti di negeri itu mendapat majoriti mudah, beberapa nama besar dan calon pilihan yang bertanding di Parlimen gagal mendapat mandat rakyat.

Daripada 14 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (PN) menang tujuh kerusi, Barisan Nasional (BN) lima kerusi dan Pakatan Harapan (PH) dua kerusi manakala 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula PN menang 17 kerusi, BN pula menang 16 kerusi dan PH lapan kerusi.

Keputusan itu sekali gus menunjukkan slogan Pahang yang pernah dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ BN sebelum ini, sudah tidak relevan malah ramai calon termasuk muka baharu yang dipertaruhkan gagal berdepan ‘tsunami’ rakyat.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Krau sejak empat penggal lalu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri tewas mengejut kepada calon PN, Kamal Ashaari dengan majoriti 1,024 undi.

Ismail sekadar mendapat 21,481 undi manakala Kamal pula mendapat 22,505 manakala calon PH, Juhari Osman mendapat 3,593 undi dan calon PEJUANG, Shahruddin Mohamed Salleh hanya menang 174 undi.

Cubaan kali kedua Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang juga bekas EXCO Pahang, untuk merampas kerusi Parlimen Temerloh juga gagal apabila tewas kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang, Salamiah Mohd Nor dari PN dengan majoriti 5,520 undi.

Salamiah memperoleh 30,929 undi jauh meninggalkan lawannya calon PH Mohd Hasbie Muda 25,409 undi, Mohamad Sharkar yang tidak mempertahankan kerusi DUN Lanchang kali ini, hanya mendapat 25,191 undi manakala calon PEJUANG, Aminuddin Yahaya hanya mendapat 1,108 undi.

Ternyata, pengaruh Mohd Sharkar yang beralih dari kerusi Dun Lanchang untuk mencuba nasib di Parlimen gagal mendapat sokongan pengundi.

Secara keseluruhan BN mengekalkan kemenangan di Parlimen Cameron Highlands, Pekan, Paya Besar, Lipis dan Bera.

Datuk Seri Ismail Abd Muttalib yang menang kerusi Maran atas tiket BN pada PRU Ke-14 membuktikan pengaruhnya di kawasan itu masih kukuh walaupun ‘berhijrah’ mewakili PN atas tiket PAS pada pilihan raya kali ini.

Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapat 19,600 menewaskan bekas rakan perjuangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang mewakili BN dengan majoriti 1,821 undi.

Ismail, 68 mendapat 19,600 undi, Shahaniza (17,779 undi) calon PH, Ahmad Shuhor Awang (3,547 undi) dan calon Bebas, Muhamad Hafiz Ishak (166 undi).

Ini membuktikan percaturan BN menyingkirkan Ismail bagi mewakili parti itu di Maran ternyata memakan diri.

PN yang pada awalnya hanya menyasarkan dua kerusi Parlimen mampu tersenyum lebar apabila berjaya merampas dan meluaskan pengaruh di tujuh kawasan terutama di wilayah Pahang Barat selepas menang di Parlimen Jerantut, Maran, Kuala Krau, Kuantan dan Temerloh.

Mandat kerusi Indera Mahkota kekal diberikan kepada penyandang sebelum ini, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi PN Pahang selain berjaya merampas Rompin dari BN.

Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman bagi merebut kerusi Bentong berjaya selepas calon muda itu menang dengan majoriti 625 undi.

Walaupun Young Syefura sekadar menang dengan majoriti kecil namun pertembungan lima penjuru termasuk dengan nama besar MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai yang kembali mencuba nasib ternyata berbaloi.

Penyandang kerusi Kuantan, Fuziah Salleh yang bertanding atas tiket PH kalah mengejut dengan calon PN Wan Razali Wan Nor dengan majoriti 2,866 undi dan sekadar berpuas hati dengan 22,684 undi.

Fuziah yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Ahli Parlimen wanita yang aktif di Dewan Rakyat sejak 2008.

PH sekadar berpuas hati apabila menang di dua kerusi Parlimen masing-masing di Bentong dan Raub.

Berita Bersatu