JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perkenan mengisytiharkan Ahad, 27 November sebagai cuti peristiwa untuk negeri itu.
Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata pemberian cuti peristiwa itu susulan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia esok.
Katanya, pengisytiharan cuti ini selaras dengan peruntukan dalam Seksyen 8 dan 9, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).
“Pemberian cuti peristiwa tersebut adalah untuk memudahkan para penyokong menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
“Selain memudahkan ia seterusnya memberi keselesaan kepada mereka untuk merancang dan mengatur perjalanan mereka agar tidak tergesa-gesa dan berada dalam keadaan selamat.
“Kerajaan Negeri Johor juga bersetuju menimbal guna tarikh pengistiharan Cuti Umum pada Isnin iaitu 28 November ini yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Hari Cuti Umum bagi negeri ini,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Isnin ini sebagai cuti umum, dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, di Sungai Long Golf and Country Club, Kajang.
Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di media sosialnya mengucapkan tahniah kepada JDT yang telah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 pada Sabtu ini.
Katanya mengajak warga negeri ini untuk bersama-sama ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi terus memberi sokongan padu kepada pasukan JDT.
“Menjunjung Kasih Sultan Johor yang telah memberi perkenan bagi meraikan kejayaan ini.
“Menjunjung Kasih Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi inspirasi kepada orang muda Johor dan sentiasa memberi sokongan kepada atlet-atlet kita.
“Kerajaan negeri Johor juga mengumumkan hari Ahad ini sebagai cuti peristiwa untuk Johor sempena perlawanan bola sepak ini.
“Ia juga bagi menghargai sokongan padu yang sentiasa diberi oleh rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan,” katanya.
JDT akan bertemu Selangor FC di pentas final selepas menepati ramalan mara ke final TM Piala Malaysia 2022 setelah menewaskan Sabah FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mara dengan agregat 4 -1 hasil kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 November lalu.
Sementara itu Selangor FC berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan keputusan agregat 3-2 selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua penuh dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Selasa.
Add Comment