Home » Piala Dunia Qatar: Brazil tidak panik kecederaan Neymar
Berita Luar Negara Sukan

Piala Dunia Qatar: Brazil tidak panik kecederaan Neymar

KETUA jurulatih Brazil, Tite yakin Neymar akan terus mewakili Brazil dalam Piala Dunia di Qatar walaupun mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan pembukaan dengan Serbia.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) tersebut terhincut-hincut di penghujung perlawanan — dalam kemenangan 2-0 skuad Selecao itu yang diledak oleh Richarlison dalam separuh masa kedua — selepas berulang kali dikasari di Stadium Lusail.

Neymar kelihatan hampir menangis ketika menerima rawatan di bangku simpanan sebelum buku lalinya yang bengkak dipaparkan ketika dia menuju ke bilik persalinan.

Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar, mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu akan menjalani penilaian lanjut dalam tempoh 24 hingga 48 jam akan datang tetapi bagi Tite — yang membiarkan Neymar terus bermain selama 11 minit lagi sebaik tercedera — bertegas bahawa tonggak utamanya tersebut akan kembali.

“Neymar berasa sakit sepanjang perlawanan tetapi dia memutuskan untuk kekal di atas padang bagi membantu pasukannya,” kata ketua jurulatih itu.

“Jadi adalah luar biasa memandangkan dia mampu menanggung kesakitannya tatkala pasukannya sedang berjuang. Dia kekal selama 11 minit lagi di atas padang sebaik tercedera, hinggalah saat dia tidak dapat meneruskannya lagi dan dia terpaksa digantikan.

“Kami yakin Neymar akan terus beraksi; dia akan terus bermain dalam Piala Dunia.

“Saya tidak melihat Neymar tercedera. Dia tercedera ketika menggelecek dan dalam gerakan gol kedua, anda boleh lihat dia sedang menanggung kesakitan ketika mengawal bola.”

Stadium Astro