Home » GRS belum serah nama untuk sertai Kabinet -Hajiji
Berita Tempatan

GRS belum serah nama untuk sertai Kabinet -Hajiji

Hajiji (dua kanan) memperkenalkan Anwar kepada mereka yang turut serta dalam rombongannya.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesahkan belum menyerahkan apa-apa nama ahli Parlimen mereka untuk mengisi Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan ini ketika ditemui pemberita sejurus mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, petang kelmarin.

Menerusi pertemuan yang berlangsung selama 45 minit itu, Hajiji berkata, pertemuan itu adalah bagi menyatakan sokongan Kerajaan Negeri Sabah dan GRS kepada Perdana Menteri.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pihaknya tidak berbincang mengenai agihan jawatan menteri, sebaliknya hanya menyatakan sokongan.

“Pada pertemuan tadi (kelmarin), kita tidak menghantar apa-apa nama untuk dicadangkan sebagai menteri dan timbalan menteri.

“Ketika pertemuan itu, beliau (Anwar) mengalu-alukan dan amat menghargai sokongan diberikan kerajaan negeri dan GRS kepadanya.

“Saya berterima kasih kerana berpeluang berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini (kelmarin),” katanya.

Ditanya sama ada kunjungannya hari itu ada membawa apa-apa tuntutan dari Sabah, Hajiji berkata, buat masa ini, tiada apa-apa.

“Saya ingat sekarang ini bukan masanya. Kita sokong dulu,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, GRS memenangi enam kerusi Parlimen di Sabah, manakala rakan kerjasamanya di negeri ini, Barisan Nasional (BN) Sabah memenangi tujuh kerusi. 

wartaoriental