Home » Denda RM50,000 tawar khidmat pergigian haram
Berita Am Berita Dalam Negara

Denda RM50,000 tawar khidmat pergigian haram

TERTUDUH (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 1, Petaling Jaya.

Kuala Lumpur: Seorang pemilik pusat kecantikan dijatuhi hukuman denda RM50,000 atau 12 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda selepas didapati bersalah menggajikan seorang pengamal pergigian haram warga asing untuk menjalankan rawatan di premisnya di Puchong, Selangor. 

Tertuduh, Mohd Sayuti Ismail, 37, juga didapati bersalah menyediakan klinik pergigian swasta tidak berdaftar mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Hakim Jamaludin Mat menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas lelaki terbabit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 1, Petaling Jaya di sini, tadi.

Dia sebelum ini didakwa di mahkamah sama mengikut Seksyen 68 Akta Pergigian 2018 dan Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) 1998 yang kedua-duanya boleh membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa KKM, Nadiah Isa dan dibantu Dr Faryna Md Yaakub manakala tertuduh diwakili peguam Lee Teong Hooi.

Berdasarkan fakta kes, premis tertuduh di Bandar Puteri Puchong, Selangor, diserbu sepasukan pegawai Unit Penguatkuasa Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 11.47 pagi, 26 Mei lalu. 

Ketika serbuan dilakukan, terdapat seorang wanita sedang menjalankan rawatan veneer gigi ke atas seorang pelanggan.

Wanita terbabit gagal menunjukkan perakuan pendaftaran pengamal dengan Majlis Pergigian Malaysia, perakuan pendaftaran sebagai klinik pergigian swasta dan perakuan pengamalan tahunan semasa sebagai pengamal pergigian berdaftar.

Pemeriksaan turut menemui peralatan pergigian dan bahan pergigian yang digunakan untuk rawatan berkenaan.

Rawatan ditawarkan termasuklah pemakaian pendakap gigi, pemutihan gigi, tampalan gigi dan tampalan diamond pada gigi.

Siasatan mendapati tertuduh menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

Semakan dengan Majlis Pergigian Malaysia mendapati tertuduh bukan pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

Tertuduh dikesan aktif mempromosikan rawatan berkenaan melalui media sosial TikTok dan Instagram selain pelanggan perlu membuat tempahan awal untuk mendapatkan rawatan.

hmetro