Home » Lelaki ditahan bersama 243 bungkusan daun ketum disumbat dalam kereta
Berita Am Berita Dalam Negara Jenayah

Lelaki ditahan bersama 243 bungkusan daun ketum disumbat dalam kereta

Hasil pemeriksaan, polis telah menemui sejumlah 243 bungkusan plastik dipercayai berisi daun ketum dan anggaran berat 243 kilogram (kg) bernilai RM5,751.00.

BENTONG: Hasrat seorang lelaki untuk menjual daun ketum ke Temerloh terbantut setelah diberkas polis Bentong di Kilometer (KM) 63 Lebuh Raya Karak ke Kuala Lumpur (arah Barat), sekitar pukul 3 pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) menahan suspek berusia 44 tahun itu yang membawa 243 bungkusan plastik daun ketum di dalam bonet dan tempat duduk belakang kereta dipandunya.

“Anggota polis peronda mobile patrol vehicle (MPV), BPJKK telah menahan sebuah kereta jenis Proton dipandu oleh seorang lelaki di Kilometer 63, Lebuh Raya Karak – Kuala Lumpur (arah Barat) dan membuat pemeriksaan. 

“Hasil pemeriksaan di belakang bonet kereta, polis telah menemui sejumlah 243 bungkusan plastik dipercayai berisi daun ketum dan anggaran berat 243 kilogram (kg) bernilai RM5,751.00,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, daun ketum itu telah dibeli oleh suspek di Pendang, Kedah dan dibawa pulang untuk dijual kepada pembeli yang telah membuat pesanan di Temerloh.
Jelasnya lagi, suspek juga telah membeli satu bungkusan daun ketum seberat satu kilogram dengan harga RM10 dan kemudiannya akan menjual kepada pelanggan yang telah membuat pesanan dengan harga RM17 bagi berat yang sama.
“Hasil siasatan, suspek juga pernah melakukan penghantaran daun ketum ke kawasan Pantai Timur sebelum ini.
“Suspek ditahan reman selama empat hari mulai 29 November 2022 hingga 2 Disember 2022 untuk membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan sekiranya disabitkan kesalahan, suspek akan dikenakan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduanya sekali.
Bagaimanapun, Zaiham memberitahu, hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif.
“Saya meminta orang ramai menjauhkan diri dengan penyalahgunaan dadah dan ketum serta bekerjasama dengan polis menyalurkan maklumat berkaitan

AWANI