Home » 242,838 tunggakan mohon tanah selesai kurang 8 tahun, kata Hajiji
Berita Tempatan Politik

242,838 tunggakan mohon tanah selesai kurang 8 tahun, kata Hajiji

“Strategi seterusnya adalah mempercepatkan proses pengukuran permohonan tanah melalui kaedah ‘Field to Finish’ (F2F) di mana pengukuran lot dan pelan hitungan diselesaikan serentak di lapangan dan ini secara langsung memendekkan tempoh memproses pengeluaran geran tanah." - Hajijji Haji Noor

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata sebanyak 242,838 permohonan tanah tertunggak sejak 1 Jan 2015 berjaya diselesaikan, sehingga 31 Okt lalu.


Katanya, tunggakan permohonan tanah di Sabah pada 1 Jan 2015 sebanyak 280,695 dan ianya berjaya dikurangkan kepada 37,857 atau 86.5%, bagi tempoh sama.


“Strategi utama yang telah diambil adalah menyelesaikan tunggakan permohonan tanah di semua daerah dengan melaksanakan inisiatif memproses semua permohonan tanah secara berkelompok berdasarkan kawasan yang dipohon dengan mengaplikasikan teknologi ICT dan teknologi geospatial terkini.


“Strategi seterusnya adalah mempercepatkan proses pengukuran permohonan tanah melalui kaedah ‘Field to Finish’ (F2F) di mana pengukuran lot dan pelan hitungan diselesaikan serentak di lapangan dan ini secara langsung memendekkan tempoh memproses pengeluaran geran tanah,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam jawapannya dibaca oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Nizam Abu Bakar Titingan, pada sesi soal jawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.


Beliau menjawab soalan Aliakbar Gulasan (ADUN Dilantik) yang bertanya mengenai strategi kerajaan menyelesaikan isu berkaitan hak milik tanah khususnya di luar bandar.
Sementara itu, Hajiji berkata, sebanyak 27,572 geran melibatkan kawasan seluas 42,429.26 hektar telah dikeluarkan melalui Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (Pantas) dari 2012 sehingga 31 Okt lalu.

Katanya, melalui Pantas, peratusan pemilikan tanah hak milik anak negeri Sabah dapat ditingkatkan kepada 42.7% atau 1,135,116 hektar tanah berhakmilik, pada 2021 berbanding 24.5% atau 477,171 hektar, pada 2010.


“Selain itu, bagi menyelesaikan tunggakan pengukuran tanah untuk lot-lot permohonan tanah yang diluluskan, kerajaan negeri melalui inisiatif penswastaan pengukuran tanah anak negeri telah melantik juruukur berlesen melaksanakan pengukuran tanah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap juruteknik ukur kerajaan,” katanya.

— Willie Jude