Home » DUN Sabah: Kerajaan tubuh MAHAS tangani isu halal
Berita Tempatan

DUN Sabah: Kerajaan tubuh MAHAS tangani isu halal

Jelas Dr Mohd Arifin kemasukan produk makanan khususnya produk daging yang diragui kehalalannya mendorong kepada penyelarasan di peringkat agensi kerajaan negeri dan persekutuan. – Astro AWANI

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menubuhkan Majlis Halal Sabah (MAHAS) bagi menangani isu halal di negeri itu selain menyelaras tindakan daripada agensi berkaitan yang terlibat dalam sektor berkenaan.

Keputusan dibuat melalui mesyuarat kabinet pada 23 November lalu.

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, perkara tersebut bagaimanapun tertakluk kepada dasar semasa kerajaan dan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Isu kemasukan produk makanan khususnya produk daging yang diragui kehalalannya dari segi syarak, mendorong kepada penyelarasan di peringkat agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkaitan dengan bidang kuasa masing-masing.

“Penyelesaian yang melibatkan semua agensi yang berkaitan perlu dibuat melihat kepada bidang kuasa yang diperuntukkan di agensi-agensi itu”, beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2023 di Dewan Undangan Negeri pada Rabu.

Ariffin turut menambah kementeriannya turut melaksanakan inisiatif pengeluaran Surat Perakuan Patuh Syariah (SPPS) sebagai langkah bagi membantu pengusaha mikro yang menghasilkan produk makanan dan minuman di negeri itu.

Katanya, SPPS dibangunkan oleh MUIS Halal Hub dengan penglibatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan SIRIM bagi mengiktiraf produk halal pengusaha mikro yang mematuhi prinsip makanan dan minuman dalam Islam.

“SPPS ini dibangunkan bagi memberi ruang kepada industri mikro di negeri ini untuk mendapatkan pengiktirafan patuh syariah bagi produk makanan dan minuman yang dipasarkan kepada masyarakat awam.

“SPPS ini juga sebagai sokongan untuk mendapatkan perakuan dan logo halal Malaysia selaras dengan kehendak subperenggan 4(1)(a)(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011)”, tambah beliau.

AWANI