Home » Pembinaan Taman Botani Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu bermula 10 Disember
Berita Tempatan

Pembinaan Taman Botani Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu bermula 10 Disember

Sekadar gambar hiasan

KOTA KINABALU: Taman Tun Fuad Stephens di Bukit Padang di sini akan ditutup bermula 10 Disember ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Taman Botani Tun Fuad Stephens Kota Kinabalu, yang bakal menjadi salah satu daya tarikan baharu di bandaraya ini apabila pembinaannya siap dua tahun dari sekarang.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, taman botani ini merupakan sebuah projek Persekutuan dengan kos berjumlah RM20 juta di mana Jabatan Landskap Negara (JLN) merupakan pegawai penguasa kepada projek ini.

Katanya, kawasan yang akan dinaik taraf adalah seluas 44.13 ekar iaitu tertumpu di kawasan sekitar trek jogging dan tasik sedia ada.

“Projek pembinaan ini akan mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk disiapkan di mana ia akan ditutup bermula pada 10 Disember 2022 sehingga 18 September 2024. Pelantikan kontraktor utama telahpun dibuat di peringkat persekutuan dan kerja-kerja pembinaan fizikal akan dimulakan sebaik sahaja taman ini ditutup,” katanya ketika menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Ginger Phoong Jin Zhe yang bertanya mengenai projek taman botani ini dan komponen projek secara terperinci.    

Berkenaan dengan trek jogging, Abidin berkata, ia akan dinaik taraf dan dilebarkan serta ditambah dengan kemudahan baharu di sepanjang laluan termasuk tempat duduk, lampu dan lain-lain kemudahan.

“Kolam di taman tersebut pula akan dikekalkan dan ditambah dengan kemudahan lain seperti pelantar terapung, trek di sekeliling tasik, pencahayaan dan lain-lain. Antara komponen pembinaan dan penaiktarafan ini termasuklah membina taman-taman khusus seperti Ginger Garden, Konservetori Orchid dan Nepenthes, Taman Nadir, Taman Herba, Bamboo Corner, Botany Playpark, usaha pemulihan hutan dengan menanam pokok-pokok tempatan, menaik taraf dan menambah jumlah parkir, membina hentian kenderaan e-hailing, naik taraf gerbang utama, membina papan utama masuk, membina rumah jaga, membina plaza dan kiosk, pembinaan pelantar atas air, pejabat pentadbiran, penyelidikan dan penyelenggaraan, bangunan tapak semaian, laluan baharu tepi tasik, menggantikan jambatan lama kepada jambatan baharu, naik taraf tandas awam, naik taraf trek jogging sedia ada, dan lain-lain fasiliti taman seperti lampu, tangga, kerusi taman, CCTV dan lain-lain.

“Kerja-kerja pembinaan dan naik taraf ini dijangka akan menjadi salah satu daya tarikan baharu di Kota Kinabalu apabila ia siap kelak,” katanya.

wartaoriental