Home » Pemberian Khas Negeri Sabah tiada kaitan dengan tuntutan hasil 40 peratus – Hajiji
Berita Tempatan

Pemberian Khas Negeri Sabah tiada kaitan dengan tuntutan hasil 40 peratus – Hajiji

Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Pemberian Khas Negeri Sabah daripada Kerajaan Persekutuan tidak ada kaitan dengan tuntutan Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Menjelaskan perkara ini sebagai menjawab isu berkenaan pemberian khas ini yang dibangkitkan oleh Wakil Rakyat Tungku, Moyog, Bugaya, Kunak dan Darau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Hajiji berkata, untuk 53 tahun iaitu sejak tahun 1969, Kerajaan Negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu RM26.7 juta setahun. 

“Namun, di bawah pimpinan Kerajaan Negeri, susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang telah diadakan, akhirnya, pada bulan April yang lalu, kita telah berjaya mencapai kata sepakat yang mana bayaran pemberian khas ditingkatkan.

“Saya amat sedar dan tahu bahawa peningkatan pembayaran kepada RM125.6 juta yang telah pun kita terima pada tahun ini adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963. 

“Justeru, ingin saya tekankan bahawa peningkatan bayaran tersebut diterima tanpa prejudis atas dasar bahawa ia adalah pengaturan secara interim (interim arrangement) dan telah menegaskan hak-hak Kerajaan Negeri untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan serta mendapatkan sebarang bayaran tunggakan ke atas ketiadaan semakan semula pemberian khas semenjak tahun 1973.

“Walau bagaimanapun, bagi membolehkan pembayaran interim tersebut dibuat, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) Negeri Sabah) 2022 perlu diwartakan,” jelas Hajiji yang juga Menteri Kewangan ketika menggulung untuk Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan Undangan Negeri 2023 di sini hari ini.

Beliau juga yakin Kerajaan Persekutuan akan menunaikan janji untuk terus sama-sama berunding, apatah lagi dengan Kerajaan Perpaduan yang telah terbentuk di peringkat Persekutuan sudah pasti akan membawa arus perpaduan dan keadilan kepada seluruh rakyat Sabah.

“Saya telah menyuara dan menegaskan pendirian Kerajaan Negeri di dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk terus menuntut hak 40 peratus daripada hasil bersih Kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963. 

“Kerajaan Negeri akan pastikan bahawa keperluan dan kepentingan kita akan sentiasa diutamakan dan diperjuangkan,” katanya, sambil berharap perkara ini tidak lagi diputarbelitkan kerana ianya boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat. 

“Sama-samalah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk menuntut hak rakyat Sabah,” katanya.

wartaoriental

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment