Home » Perak tetap tidak bekal air ke Pulau Pinang-Saarani
Berita Am Berita Dalam Negara

Perak tetap tidak bekal air ke Pulau Pinang-Saarani

SAARANI Mohamad membuat lawatan kerja ke tapak projek perintis Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di Asrama Murni dekat Jelapang, di sini, semalam

IPOH: Perak tetap dengan keputusan tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerajaan campuran di peringkat Pusat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan kerana kapasiti yang ada hanya cukup untuk negeri ini sahaja.

“Ini bukan fasal kerajaan PH menerajui Pulau Pinang dan BN menerajui Perak sebelum ini,  masalah kita ialah kapasiti air Sungai Perak itu hanya cukup untuk kegunaan dalaman.

“Apatah lagi di Perak kita akan bangunkan sebagai sebuah negeri perindustrian yang akan memerlukan air yang banyak,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke tapak projek perintis Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ) di Asrama Murni dekat Jelapang, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai gesaan ke atas kerajaan Pulau Pinang supaya meneruskan rundingan pelaksanaan SPRWTS selepas kerajaan Perak kini ditadbir secara bersama oleh BN dan PH. 

Gesaan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang menyifatkan pentadbiran secara besama antara BN dan PH di Perak kini sebagai peluang keemasan untuk menjayakan projek SPRWTS yang tertangguh sejak 11 tahun lalu.

Saarani justeru mengulangi pendirian sebelum ini bahawa Perak mutamad dengan keputusan seperti sebelum ini untuk keperluan domestik penduduk.

Pada Mac lalu, Saarani  menegaskan, keputusan itu turut mengambil kira beberapa kajian berhubung impak pengaliran keluar air dari Sungai Perak terhadap prestasi empangan janakuasa elektrik serta kegunaan sektor perkilangan.

-–UTUSAN