Home » Ahmad Zahid, Fadillah dilantik TPM. Ini senarai penuh Kabinet Perpaduan pimpinan PM Anwar
Berita Dalam Negara

Ahmad Zahid, Fadillah dilantik TPM. Ini senarai penuh Kabinet Perpaduan pimpinan PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 28 nama menteri dalam kerajaan pimpinannya dalam sidang media hari ini. – Gambar BERNAMA

PUTRAJAYA: Lapan hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menamatkan persoalan dan teka-teki berhubung barisan Kabinet yang akan bersama-sama dengannya mentadbir negara.

Banyak khabar angin tersebar sebelum ini mengaitkan beberapa nama dengan jawatan tertentu namun segalanya hanyalah khabar angin sehinggalah hari ini.

Menerusi sidang media pada Jumaat, Anwar mengumumkan Kabinetnya akan merangkumi 28 kementerian dengan beliau dan dua Timbalan Perdana Menteri masing-masing memegang satu portfolio dalam kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar sendiri akan memegang portfolio di Kementerian Kewangan manakala Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memegang portfolio di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Manakala, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 2 turut memegang portfolio di Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Pelantikan Fadillah menyaksikan Ahli Parlimen Petra Jaya itu mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama dari Sarawak yang diberi amanah untuk menggalas jawatan tersebut.

Pelantikan Ahmad Zahid dan Fadillah menamatkan spekulasi berhubung jawatan nombor dua tertinggi itu.

Dalam pada itu, beberapa bekas menteri Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi menteri iaitu Mohamad Sabu yang dilantik Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sementara Anthony Loke Siew Fook yang kembali dilantik sebagai Menteri Pengangkutan.

Selain itu, turut kembali ke Kabinet ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan).

Sementara itu, beberapa menteri dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) turut dilantik, antaranya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya).

Dalam pada itu, beberapa pemimpin muka baharu turut disenarai mengisi jawatan sebagai menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Dari PH, yang dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri ialah Mohd Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Ewon Benedick (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Ahmad Fahmi Mohd Fadzil (Menteri Komunikasi Digital).

Sementara, muka-muka baharu dari Barisan Nasional (BN) pula ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan) dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Luar Negeri).

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, senarai Timbalan Menteri akan diumumkan selepas ini.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan istiadat angkat sumpah melibatkan semua menteri dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada esok I(Sabtu), pukul 3 petang di Istana Negara.

Berikut senarai penuh 28 Menteri Kabinet Perpaduan PM ke-10:

Perdana Menteri & Menteri Kewangan – Datuk Seri Anwar Ibrahim

TPM & Menteri Kemajuan Desa & Wilayah – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

TPM & Menteri Perladangan & Komoditi – Datuk Seri Fadillah Yusof

Menteri Pengangkutan – Anthony Loke Siew Fook

Menteri Pertanian & Keterjaminan Makanan – Mohamad Sabu

Menteri Hal Ehwal Ekonomi – Mohd Rafizi Ramli

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan – Nga Kor Ming

Menteri Pertahanan – Datuk Seri Mohamad Hasan

Menteri Kerja Raya – Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Menteri Dalam Negeri – Datuk Seri Saifuddin Nasution

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Menteri Pengajian Tinggi – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

AWANI