Home » Langkah penjimatan Jemaah Menteri ke arah pulihkan ekonomi negara – Ahli akademik
Sudut Pandangan

Langkah penjimatan Jemaah Menteri ke arah pulihkan ekonomi negara – Ahli akademik

Pada 2 Dis lepas, Anwar berkata Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan perlu mengelakkan pembaziran serta fokus dalam melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat. – Foto Facebook/Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan langkah positif di bawah pimpinannya dengan menyeru anggota Kabinet yang dilantik supaya tidak membazirkan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu, kata ahli akademik.

Mereka berpendapat langkah itu dilihat cakna dengan situasi ekonomi, kewangan negara dan sentimen rakyat sekali gus ke arah memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Noor Mohamad Shakil Hameed berkata pendekatan itu mampu memberi kesan positif kepada kedudukan kewangan negara sekiranya dilaksanakan secara konsisten.

Beliau yang juga pakar pentadbiran awam dan pemerhati isu semasa berkata setiap kementerian dan agensi kerajaan juga perlu menilai semula perancangan perbelanjaan yang telah ditetapkan sebelum ini khususnya Bajet 2023, dengan mengambil kira ‘ribut ekonomi’ yang dijangka berlaku pada 2023.

“Ambil peluang untuk mengkaji semula semua perancangan perbelanjaan 2023 khususnya yang membabitkan perolehan besar termasuk projek berskala besar bagi menentukan apakah ia benar-benar perlu dilaksanakan pada ketika ini, atau boleh ditangguh sehingga ekonomi kembali pulih.

“Selain itu, perbelanjaan berbentuk keraian seperti majlis-majlis yang besar dan program perasmian yang kebiasaannya menelan kos perbelanjaan yang besar wajar dikawal dan dikurangkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pensyarah Jabatan Sejarah Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr Ishak Saat berpandangan langkah penjimatan itu sangat tepat sebagai kesiapsiagaan menghadapi kegawatan ekonomi global yang dijangka berlaku pada tahun depan.

“Saranan untuk berjimat ini sepatutnya disahut bukan sahaja dalam Kabinet tetapi juga agensi dan jabatan-jabatan kerajaan juga perlu berjimat cermat… Ini perlu supaya kita dapat seimbangkan balik masalah inflasi dan kegawatan ekonomi. Ditambah pula kita (kerajaan) ‘mewarisi’ hutang negara yang agak ketara.

“Selain itu, mesyuarat Kabinet esok juga dijangka akan membincangkan pemotongan gaji kesemua menteri, saya berharap menteri-menteri terima cadangan ini untuk tunjukkan kepada rakyat keikhlasan mereka bekerja dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri,” kata Ishak yang juga Ahli Senat UPSI.

Turut senada dengan mereka, Pensyarah Kanan Politik dari Universiti Malaya (UM) Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang berpendapat langkah penjimatan itu adalah wajar dalam usaha mengurangkan bebanan kewangan kerajaan dan mengalirkan dana penjimatan kepada keperluan yang lebih penting.

Mohammad Tawfik berkata antara langkah yang wajar dirasionalisasikan adalah dengan mengurangkan lantikan politik seperti pegawai khas dan setiausaha politik manakala penggunaan kemudahan kelas satu berdasarkan kepada keperluan.

Pada 2 Dis lepas, Anwar pada sidang media berkata Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan perlu mengelakkan pembaziran serta fokus dalam melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat.

Hari ini, Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama bagi membincangkan beberapa peraturan baharu termasuk tumpuan kepada memulihkan ekonomi yang perlu diikuti barisan jemaah menteri di bawah pimpinannya. — BERNAMA

AWANI

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment