Home » Isu RM600 bilion: Tak ada apa nak sorok, kata Tengku Zafrul
Berita Dalam Negara Politik

Isu RM600 bilion: Tak ada apa nak sorok, kata Tengku Zafrul

Tengku Zafrul Aziz berkata beliau akan memberikan kerjasama jika dipanggil SPRM. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata beliau tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan berhubung dakwaan penyelewengan perbelanjaan hampir RM600 bilion oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.


Tengku Zafrul turut mengesahkan sehingga kini belum mendapat sebarang panggilan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan itu.


“Setakat ini tak ada panggilan daripada SPRM. Kalau dapat panggilan sudah tentu kita akan kerjasama.


“Apa yang penting, tak ada perkara yang kita nak sorok, jadi sudah tentu kita lebih dari bersedia (bagi kerjasama) jika dapat panggilan,” katanya kepada pemberita di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama Pengkalan Udara TLDM.


Tengku Zafrul berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.


Semalam sebuah portal memetik sumber berkata siasatan SPRM itu susulan laporan diterima daripada beberapa pihak mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik Covid-19 melanda negara mulai 2020.

— Anne Muhammad