Home » Mas Ermieyati daripada PN antara 3 calon timbalan speaker
Berita Dalam Negara Politik

Mas Ermieyati daripada PN antara 3 calon timbalan speaker

Mas Ermieyati Samsudin, Alice Lau dan Ramli Md Nor antara tiga Ahli Parlimen yang dikatakan bersaing untuk dua jawatan timbalan speaker.

PETALING JAYA: Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) antara tiga Ahli Parlimen yang dicalonkan untuk dua jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat, kata sumber kepada FMT.


Mas Ermieyati pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dan menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah untuk penggal ketiga, selepas berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,411 undi pada PRU15.


Sumber berkata, dua lagi calon adalah Ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands daripada Umno Ramli Md Nor.


Lau, kali pertama memenangi kerusi itu pada 2013, mengekalkan Parlimen Lanang dengan majoriti selesa 11,544 undi dalam pertembungan empat penjuru pada PRU15.
Ramli dilantik sebagai timbalan speaker Mac lalu, menjadi Orang Asli pertama mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat.


Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa speaker boleh meminta mana-mana Ahli Parlimen untuk mempengerusikan mesyuarat buat sementara waktu.


Satu jawatan timbalan speaker kosong sejak Ogos 2021 selepas Azalina Othman Said daripada BN meletak jawatan, yang didakwa ada kaitan dengan konflik moral, peribadi dan politik.


Ramli, seorang pesara kanan polis menjadi Ahli Parlimen Orang Asli pertama pada Januari 2019 selepas memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands. Beliau dipilih semula untuk penggal kedua pada PRU15.


Baru-baru ini, media melaporkan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani daripada PH, Johari Abdul dan bekas Ahli Parlimen Kangar Radzi Sheikh Ahmad daripada PN antara calon untuk jawatan speaker.


Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun berkata, beliau akan mengosongkan jawatan itu menjelang 18 Dis selaras Perlembagaan Persekutuan. Dewan Rakyat akan memilih speaker baharu apabila ia bersidang pada hari berikutnya.

— Faisal Asyraf

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment