Home » Sebulat Suara Tinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
Berita Tempatan Politik

Sebulat Suara Tinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia

Kota Kinabalu : 9 Disember 2022 – Hari ini, kita sebulat suara telah mengambil keputusan untuk keluar dan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Kami membuat keputusan ini setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Kerajaan Negeri yang ditunjangi oleh Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS BN) juga telah mengambil kira nasihat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di￾Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan. Dengan keputusan ini, kami akan menggunakan Gabungan Rakyat Sabah untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia. Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah.

Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS. Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara. Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan
ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63 akan dilaksanakan sepenuhnya. Keputusan kepimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo. Ini kerana di peringkat Persekutuan BERSATU adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.

Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi
Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli BERSATU.